Skip to main content

Durian Kampung Premium Perak Mampu Dijadikan Sebagai Produk Antarabangsa.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad mengumumkan jualan lelong durian Musang King pada harga RM5 sebiji di program berkenaan.

SELAMA, 20 Julai 2025 – Kerajaan Negeri Perak menumpukan usaha untuk memperluas pasaran durian kampung premium agar mampu menembusi peringkat antarabangsa sebagai produk bernilai tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pemain utama industri durian global.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, berkata usaha itu selari dengan potensi besar durian Perak yang kini menjadi antara komoditi berimpak tinggi dalam pelan pembangunan negeri dan negara.

“Negeri Perak merupakan pengeluar terbesar durian kampung di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 59,217.3 tan metrik bernilai RM462.28 juta pada 2024. Keunikan rasa dan kualiti durian kampung Perak menjadikannya produk berpotensi untuk dieksport sebagai premium,” ucapnya ketika merasmikan Majlis Penutup Durian Fest Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Selama.

Beliau berkata, Perak merupakan pengeluar terbesar durian kampung di Malaysia dengan tumpuan di kawasan seperti Batu Kurau, Kuala Kangsar dan Mualim.

“Trend eksport durian Malaysia kini menunjukkan peningkatan ketara, khususnya ke pasaran China, dengan nilai mencecah RM1.14 bilion pada 2022, manakala eksport sulung durian segar bermula Ogos 2024 melibatkan 413.61 tan metrik bernilai RM24.84 juta,” katanya.

“Pertumbuhan ini dijangka terus meningkat sehingga RM1.8 bilion menjelang 2030, didorong oleh kemajuan logistik, teknologi rantaian sejuk beku, inovasi produk hiliran, serta pematuhan piawaian eksport. Kita tidak mahu ketinggalan, Perak mesti mengambil peluang ini,” ujarnya.

Menurut beliau, keupayaan Perak dalam mengeksport durian semakin terserlah melalui penyertaan syarikat tempatan yang aktif di pasaran antarabangsa, antaranya Topone Solution Sdn Bhd yang mengeksport 30 kontena durian bernilai RM20 juta pada 2024, termasuk 100 tan metrik pes durian bernilai RM5.25 juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menekankan pendekatan penjenamaan, pensijilan kualiti, pemasaran digital dan inovasi produk seperti coklat durian, kopi durian, kek durian dan sambal tempoyak segera yang kini mula menembusi pasaran luar negara.

“Dalam mendepani persaingan sengit daripada negara pengeksport utama seperti Thailand dan Vietnam, Perak perlu memperkukuh rantaian nilai dari pengeluaran berkualiti, pengurusan ladang moden, hingga kepada pemprosesan dan promosi antarabangsa,” katanya lagi.

Durian Fest 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini melibatkan lebih 25 usahawan tempatan, menarik kehadiran lebih 20,000 orang pengunjung dan menyasarkan jualan RM400,000, selain menjadi platform pengukuhan jaringan Industri Asas Tani (IAT), koperasi dan usahawan muda.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut melihat Selama berpotensi sebagai destinasi agropelancongan melalui konsep duriotourism yang menggabungkan dusun durian, kampung tradisional dan budaya tempatan, sekali gus merancakkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri komited menjadikan sektor agromakanan sebagai teras utama dalam menjamin sekuriti makanan, memperkukuh ekonomi luar bandar dan melonjakkan daya saing negeri dalam industri bernilai tinggi seperti durian.

Hadir sama, YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Dato’ Haji Mohd Zolkafly bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan; YB Encik Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau; Puan Rosilawati binti Abu Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan FAMA; Encik Mohd Nasrul bin Menhat, Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama dan Puan Azlena binti Zainal Abidin, Pengarah FAMA Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.