Skip to main content

Jabatan Audit Negara Perkukuh Hubungan Komuniti Di Daerah Larut, Matang Dan Selama.

YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi menyampaikan ucapan di jamuan makan malam berkenaan.

TAIPING, 26 Julai 2025 – Jabatan Audit Negara (JAN) terus memperkukuh hubungan kemasyarakatan melalui penganjuran Program Santuni MADANI 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), Taman Tasik Taiping.

Program ini mengetengahkan pelbagai pengisian antaranya pendidikan, kesejahteraan komuniti serta kelestarian alam sekitar.

Sebagai platform perkongsian ilmu, antara pengisian utama ialah sesi Executive Talk bertajuk ‘Amanah Untuk Negara: Peranan Saya, Peranan Anda’ yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara.

Sesi ini menekankan kepentingan integriti sebagai teras pentadbiran. Selain itu, ceramah mengenai Kecerdasan Buatan (AI) turut diadakan bagi membuka perspektif baharu terhadap kepentingan teknologi pada masa kini dan masa hadapan, khususnya dalam sektor pendidikan.

Selain sesi perkongsian ilmu, YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi turut menyampaikan sumbangan bagi projek fizikal yang merangkumi naik taraf gelanggang bola tampar, penggantian sistem penghawa dingin di dewan sekolah serta penyediaan kerusi batu untuk meningkatkan keselesaan persekitaran pembelajaran.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyempurnakan penyampaian Piala Ketua Audit Negara bagi kejohanan bola tampar yang dianjurkan di sekolah berkenaan.

Program turut diperluas melalui aktiviti gotong-royong bersama komuniti setempat di Taman Ulu Tupai. Usaha ini memberi tumpuan kepada isu kebersihan dan pencemaran Sungai Tupai, sekali gus menekankan kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, penganjuran program ini bukan sekadar memberi manfaat berbentuk pembangunan fizikal, malah turut memupuk nilai tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat.

“Kerajaan boleh menyediakan bantuan, namun kelestarian persekitaran bergantung kepada kesedaran masyarakat untuk sama-sama menjaga dan mengekalkannya,” jelasnya.

Selaras dengan inisiatif untuk memastikan manfaat program lebih menyeluruh, JAN turut bekerjasama dengan Yayasan Perak melalui pelaksanaan Program Sayangi Rumahku.

Usaha ini memberi tumpuan kepada bantuan baik pulih rumah untuk golongan yang memerlukan, melibatkan empat buah rumah di Kampung Pokok Assam dan Kampung Tupai dengan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap unit.

Langkah ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup serta keselamatan kediaman keluarga yang terpilih.

Penganjuran program ini direalisasikan melalui kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Majlis Perbandaran Taiping serta Pejabat Daerah Larut, Matang dan Selama.

Sebagai penutup, program ini diakhiri dengan jamuan makan malam di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering yang turut menghimpunkan wakil-wakil agensi pelaksana, rakan strategik dan pemimpin tempatan.

Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; Encik Mohd Nasrul bin Menhat, Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama; Encik Khairul Amir bin Mohamad Zubir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping; YBrs. Dr. Nasreen Khanum binti Nawab Zadah Khan, Pengurus Besar Yayasan Perak serta Puan Rabiatul Adawiah binti Pathil, Pengetua SERATAS.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.