DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Eksesais LEMBING SAKTI 2025.
Baginda berkenan berbual bersama Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan.
LUMUT, 28 Julai 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Eksesais LEMBING SAKTI 2025 di Lapang Sasar Tanjung Hantu, Hutan Simpan Segari Melintang, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Eksesais ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak bersama isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) bersama YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah binti Mohd Noor.
Turut hadir, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad serta Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Darat.
Eksesais dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan diikuti demonstrasi tembakan roket secara langsung.
Eksesais ini melibatkan penggunaan peluru berpandu SS-30 dan SS-40 oleh pasukan Briged Artileri Roket, serta pelibatan sistem persenjataan canggih seperti Artillery Saturation Rocket System (ASTROS), High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS), Artillery Hunting Radar (ARTHUR), Unmanned Aircraft System (FLYEYE) dan turut melibatkan KD MAHAWANGSA.
Ia turut menyaksikan kerjasama strategik antara Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Gerakan Marin serta pelbagai agensi awam lain.
Antara objektif utama eksesais ini adalah untuk menguji kesiagaan tempur dan keberkesanan sistem senjata artileri roket serta meningkatkan keupayaan kerjasama antara agensi dalam operasi gabungan darat-laut-udara.
Eksesais ini juga berperanan sebagai platform pendedahan terhadap taktik dan prosedur terkini dalam penggunaan HIMARS, di samping pelaksanaan Complete Round Proof (CRP) oleh 40 Markas Kejuruteraan Peluru Kor Ordnans Diraja (MKP KOD) bersama pihak Institut Pendidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).
Eksesais LEMBING SAKTI 2025 membuktikan keupayaan taktikal serta komitmen berterusan Angkatan Tentera Malaysia dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan tempur dan keupayaan pertahanan negara.
Inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkukuh jaringan kerjasama pertahanan serantau melalui penglibatan negara sahabat dalam menjamin kestabilan serta keselamatan strategik di rantau ini.
Menurut kenyataan Angkatan Tentera Darat Malaysia, keberangkatan baginda berdua mencerminkan sokongan padu institusi diraja terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.