Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2023/2024.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyampaikan sembah ucapan di majlis berkenaan.

IPOH, 30 Julai 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2023/2024 di Hotel Casuarina@Meru, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim serta YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato' Seri Azlan Muzzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Majlis ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak bersama isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) bersama YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah binti Mohd Noor serta YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah.

Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad serta YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan Encik Haji Mazlan bin Mohamad, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Olahragawan kepada Izzat Shameer bin Dzulkepli, atlet boling padang negara dan Anugerah Olahragawati kepada Sin Li Jane, atlet tenpin boling negara.

Izzat Shameer bin Dzulkepli membantu skuad boling padang negara dengan membawa pulang empat pingat emas pada Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 dan Kejohanan Boling Padang Asia Bawah 25 tahun (B-25) ke-14 di Clark, Filipina April lepas.

Sin Li Jane pula menamatkan kempen 2024 dengan bergaya apabila muncul pemain boling pertama Asia dinobat sebagai Pemain Terbaik Tahunan dalam Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) Amerika Syarikat (AS).

Beliau memperoleh anugerah itu selepas memenangi empat gelaran iaitu Terbuka Wanita AS, Kejohanan Jelajah, Terbuka Journal Rockford dan Greater Nashville Classic.

Kedua-dua atlet itu membawa pulang medal dan insentif wang tunai RM7,000.

Low Jeng Yih, atlet bola tampar pantai dan Joelle Chang Zu-Ee, atlet renang pula dinobat sebagai Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan, manakala dua atlet berbasikal Mohamad Yusof Hafizi bin Shaharuddin dan Nur Suraya binti Muhammad Zamri dinobat Atlet Terbaik Para Lelaki dan Atlet Terbaik Para Wanita.

Turut menerima anugerah ialah Encik Hishamuddin bin Mohd Zaki, jurulatih sukan berbasikal kategori Jurulatih, YABhg. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan (Anugerah Kepimpinan Sukan), Encik Mohd Jamil bin Zakaria (Anugerah Jasamu Dikenang), Encik Mohamad Ayob bin Kamarudin (Anugerah Keluarga Sukan), Encik Razif bin Rosli dan Encik Mohd Fitri bin Azman masing-masing kategori media, Perak Bison (Anugerah Pasukan Terbaik) dan Persatuan Golf Negeri Perak yang menerima Anugerah Khas Persatuan Sukan.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak telah merintis beberapa inisiatif penting antaranya Program Podium Perak (P3) yang diperkenalkan sejak 2017, Program Atlet Kita Juara yang memugar potensi anak negeri serta pelbagai usaha pembangunan akar umbi.

Beliau berkata, sebanyak 202 atlet berpotensi kini berada di bawah naungan Program Podium Perak sebagai persediaan untuk kejohanan peringkat lebih tinggi.

Tambahnya lagi, MSN Perak juga terus menitikberatkan aspek kebajikan dan pembangunan sahsiah atlet agar terus menjaga imej sukan negeri secara holistik.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.