Skip to main content

HBP Siri 6: Hilir Perak Rekod Kehadiran Pelanggan Tertinggi.

YB Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam ketika menyatuni pelanggan.

TELUK INTAN, 11 Ogos 2025 - Buat julung kalinya daerah Hilir Perak dipilih sebagai lokasi penganjuran Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Siri 6 Tahun 2025 sejak HBP dilaksanakan sepanjang empat tahun lalu.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata demikian ketika sesi sidang akhbar sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 6 Tahun 2025 di Dewan MPTI, Langkap, di sini.

“Daerah Hilir Perak dipilih sebagai lokasi keempat penganjuran program di luar ipoh, dan kali pertama diadakan di daerah ini selepas hampir empat tahun penganjurannya. Ini jelas mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kerajaan dan memberikan peluang yang lebih setara kepada rakyat di pelbagai kawasan,” katanya.

Tambahnya lagi, daerah tersebut turut mencatatkan rekod aduan tertinggi sepanjang penganjuran program HBP iaitu sebanyak 224 aduan.

“Pada hari ini, sebanyak 224 aduan telah diterima dan merupakan jumlah tertinggi pernah direkodkan sepanjang penganjuran program ini.

“Sehingga pelaksanaan siri kelima, kita telah berjaya mengumpulkan sejumlah 548 aduan, dengan 466 daripadanya (85%) telah berjaya diselesaikan, manakala baki 82 aduan (15%) masih dalam proses tindakan susulan,” jelasnya.

Hadir sama, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan); YBhg. Dato’ Kamalludin bin Ismail, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak serta Puan Mufidah Binti Mahfodz, Pegawai Daerah Hilir Perak.

Penganjuran HBP kali ini menghimpunkan 64 kaunter khidmat pelanggan dan dua kaunter bergerak, selain menawarkan program jualan murah dan jualan rahmah bagi memudahkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan serta mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, sekali gus meringankan beban kos sara hidup.

Turut diadakan Program Penukaran Minyak Hitam Percuma oleh GIATMARA Teluk Intan dan Program Gunting Rambut Percuma oleh GIATMARA Bagan Datuk, masing-masing terhad kepada 50 orang, bagi memberi peluang kepada rakyat menikmati manfaat secara langsung.

Dalam program yang sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut merasmikan Jelajah Promosi Price Catcher sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2025, iaitu inisiatif KPDN bagi mempromosikan penggunaan aplikasi Price Catcher kepada warga negeri.

Aplikasi mudah alih dengan tagline #BandingkanHargaBaruBeli ini dibangunkan untuk memudahkan pengguna membuat perbandingan harga serta memberi kuasa membuat keputusan pembelian yang lebih bijak. Price Catcher memaparkan maklumat harga sebanyak 480 barangan terpilih di pelbagai premis peruncitan termasuk pasar basah, hypermarket, supermarket, mini market dan kedai runcit, seperti yang dinyatakan di laman web KPDN.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.