Kunjungan Hormat Duta Besar Republik Uzbekistan Ke Malaysia Ke Atas YAB Menteri Besar Perak.
Ketibaan beliau telah disambut oleh YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Encik Kumaresan A/L Lingam dan Puan Anita binti Amri
IPOH, 13 Ogos 2025 – YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Dr. Karomidin Gadoev, Duta Besar Republik Uzbekistan ke Malaysia di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Ketibaan beliau telah disambut oleh YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); Encik Kumaresan A/L Lingam, Timbalan Pengarah Sektoral 1, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak dan Puan Anita binti Amri, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Korporat, SUK Perak.
Setelah tiba, TYT Dr. Karomidin Gadoev diiringi ke pejabat YAB Menteri Besar Perak untuk sesi perbincangan.
Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Pertemuan ini menjadi simbolik kepada hubungan dua hala yang semakin utuh antara Negeri Perak dan Republik Uzbekistan. Ia juga membuka lembaran baharu dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik yang berpotensi memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak, terutamanya dalam bidang ekonomi, pelaburan, kebudayaan, pendidikan dan pelancongan.
Sepanjang perbincangan, kedua-dua pihak saling bertukar pandangan berkenaan perkembangan ekonomi serantau serta meneroka peluang kerjasama baharu yang diyakini mampu memperkukuh pembangunan ekonomi dan kemakmuran kedua-dua pihak.
Antara fokus utama ialah memperhebat promosi pelancongan Islam, yang dilihat mampu menjadi jambatan budaya sekali gus mengangkat Perak dan Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Perak merupakan negeri pertama yang dikunjungi secara rasmi oleh TYT Dr. Karomidin Gadoev sejak beliau memegang jawatan Duta Besar ke Malaysia. Ini merupakan suatu penghormatan besar kepada negeri Perak, mencerminkan keyakinan Uzbekistan terhadap potensi negeri ini sebagai rakan strategik penting di rantau Asia Tenggara.
Kerajaan Negeri Perak percaya bahawa kunjungan ini akan membuka ruang kerjasama yang lebih luas, merapatkan hubungan persahabatan, serta memberi nilai tambah dalam usaha memacu agenda pembangunan negeri selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.