Skip to main content

Kilang EV Proton Tanjong Malim Buka Era Baharu Industri Automotif Negara.

Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin

TANJONG MALIM, 4 September 2025 – YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri hari ini merasmikan kilang kenderaan elektrik (EV) pertama Proton yang terletak di dalam kawasan Automotive High Tech Valley (AHTV), di sini sekali gus menandakan permulaan era baharu dalam industri automotif negara.

Kerjasama Malaysia–China turut dizahirkan melalui pelancaran kilang baharu itu yang menjadi bukti kejayaan pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran serta keyakinan pelabur luar terhadap potensi Proton untuk menguasai pasaran global.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak atas kerjasama erat serta kelulusan pantas sehingga projek strategik ini berjaya direalisasikan dalam tempoh singkat.

“Saya juga mengalukan kehadiran YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan rakan-rakan daripada Kerajaan Negeri Perak kerana seperti mana yang disebut oleh Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan, DRB-HICOM tadi, dukungan mereka, kerjasama mempercepatkan proses kelulusan ini satu contoh yang sangat baik. Itu satu proses kelulusan dan kecekapan Kerajaan Negeri Perak yang membanggakan. Terima kasih,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pelaburan Proton bersama Geely bukan sekadar menambah kapasiti pengeluaran, malah memperkukuh pemindahan teknologi, pembangunan pusat kecemerlangan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kerjasama ini adalah langkah tepat dalam mendepani cabaran transisi tenaga global. Dasar Automotif Nasional, Rangka Tindakan Industri dan agenda transformasi negara perlu diterjemahkan dengan sokongan teknologi moden yang akhirnya memberi manfaat langsung kepada rakyat,” jelas beliau ketika berucap pada majlis peluncuran berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kejayaan Proton menembusi pasaran antarabangsa termasuk Mesir, Afrika Selatan dan Brazil akan terus diperkasakan melalui sokongan kerajaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab automotif serantau. Malah, pelancaran model EV Proton turut dijangka mendapat perhatian pada Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung Oktober ini.

Kilang pemasangan eksklusif Proton yang hanya mengambil masa tujuh bulan untuk disiapkan sejak majlis pecah tanah pada 7 Februari lalu, dibangunkan dengan kos keseluruhan RM82 juta di atas tapak seluas 5.57 ekar. Fasa pertama bernilai RM47 juta yang dilancarkan hari ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 20,000 unit setahun, manakala reka bentuknya membolehkan pengeluaran ditingkatkan sehingga 45,000 unit setahun.

Model EV pertama Malaysia, Proton e.MAS 7 yang dilancarkan pada Disember tahun lalu, menjadi model pemasangan tempatan (CKD) pertama dikeluarkan di kilang ini, disusuli Proton e.MAS 5 sebagai model kedua. Kerjasama bersama Zhejiang Geely Holding Ltd (Geely) turut membuka ruang kepada pemasangan jenama premium lain seperti Zeekr di AHTV.

YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim turut menyaksikan tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Automotive High Tech Valley Alliance Sdn Bhd (AASB) bersama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) bagi menjalankan kajian hab logistik kereta api di AHTV.

Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan; YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Li Shufu, Pengerusi PROTON serta YBrs. Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.