Skip to main content

Dewan Negeri Perak Lulus RUU Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025

Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH, 10 September 2025 - Dewan Negeri Perak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 selepas dibahas dan digulung ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Usul bagi RUU tersebut telah dibawa oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak merangkap Ahli Dewan Negeri Kota Tampan diluluskan sebulat suara tanpa pindaan oleh 15 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang sekali gus menggantikan enakmen lama tahun 1996.

Dalam ucapan penggulungannya, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menzahirkan penghargaan kepada semua ADUN yang menyokong usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh pentadbiran institusi pendidikan Islam agar lebih tersusun, telus dan berkesan.

“Walaupun terdapat perbezaan pandangan berhubung butiran teknikal dan pelaksanaan, asasnya semua pembahas berkongsi hasrat yang sama iaitu memelihara martabat pendidikan Islam serta memperkukuh peranan sekolah agama sebagai medan membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.

Menurut beliau, enakmen baharu itu antara lain menambah baik beberapa tafsiran seperti ‘Ketua Pendaftar’ yang merujuk kepada jawatan utama dalam urusan pendaftaran sekolah, serta tafsiran ‘premis’ yang merangkumi apa-apa bangunan digunakan untuk tujuan persekolahan. Tafsiran ‘sekolah’ juga diperkemas supaya merangkumi semua kategori sekolah agama Islam termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Beliau berkata, kaedah-kaedah pelaksanaan undang-undang itu akan dirangka oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dengan melibatkan sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk jemaah pengurusan sekolah, guru, pentadbir dan juga ADUN.

“Ahli Dewan turut boleh mencadangkan syarat, tempoh masa, tatacara pendaftaran atau penutupan sekolah dalam sesi libat urus, termasuk langkah mengelakkan sekolah daripada terlibat dengan fahaman menyeleweng akidah,” jelasnya.

Mengenai kebimbangan status SABK, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menegaskan penguatkuasaan enakmen baharu itu tidak menjejaskan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Lembaga Pengurus Sekolah (LPS).

Jelasnya, Kerajaan Negeri Perak tetap membantu SABK dalam aspek kokurikulum sama ada melalui JAIPk atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sesi perbahasan turut menyentuh isu kebajikan guru, kemudahan sekolah serta cadangan peningkatan kompetensi tenaga pengajar. Antara yang dibangkitkan termasuk semakan elaun guru KAFA, kursus latihan profesional, pembudayaan digitalisasi serta keperluan penambahan sekolah agama di kawasan padat penduduk.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Perak akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi meneliti isu prasarana sekolah agama serta kebajikan guru dan kakitangan agar tindakan menyeluruh dapat diambil.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Perak sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan sekolah-sekolah agama di negeri ini.

Jelasnya, pelbagai peruntukan telah disalurkan termasuk hampir RM800,000 bagi menaik taraf sekolah agama di kawasan Parlimen Bagan Serai pada tahun ini sahaja, di samping pembinaan blok baharu di beberapa buah sekolah agama rakyat di Lahat, Menglembu dan Bota.

 “Sekolah agama tidak boleh dijadikan polemik politik. Ia tiang seri pembinaan umat dan akan terus diberi perhatian serta sokongan selagi saya diberi amanah memimpin negeri,” katanya.

Melalui enakmen baharu ini, pentadbiran sekolah agama Islam di Perak diyakini akan lebih tersusun, berkesan serta relevan dengan cabaran semasa, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.