Skip to main content

PDT Kinta Rai 19 Penerima APC Dan 7 Pesara – Digital Buletin@Kinta Jadi Medium Baharu.

Ketibaan YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman diiringi oleh YBrs. Encik Zulhisham bin Ahmad Shukori

IPOH, 12 September 2025 – Seramai 19 orang pegawai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kinta menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 dalam satu majlis penuh penghargaan yang diadakan di Galasa Caldwell, di sini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) mewakili YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Daripada jumlah itu, seramai 11 orang penerima adalah dari PDT Kinta, Batu Gajah manakala lapan lagi dari PDT Kinta, Ipoh.

Majlis turut meraikan tujuh orang pesara yang akan menamatkan perkhidmatan pada tahun 2025, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka sepanjang perkhidmatan.

Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman berkata penganugerahan APC ialah simbol penghargaan kerajaan terhadap amanah, integriti dan prestasi cemerlang penjawat awam. Katanya, kejayaan itu bukan sahaja hasil kerja keras penerima, malah sokongan ahli keluarga yang memahami tugas serta pengorbanan masa demi memberi dorongan moral tanpa henti.

“Setiap pengiktirafan ini lahir daripada doa, dorongan dan pengorbanan ahli keluarga yang sentiasa berada di belakang penerima. Justeru, penghargaan ini sewajarnya dikongsi bersama mereka,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa penganugerahan APC tidak harus dijadikan kayu ukur kepada kesempurnaan tugas harian kerana ruang penambahbaikan sentiasa ada untuk mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman juga mengingatkan bahawa kecemerlangan jabatan tidak akan lahir tanpa semangat kerjasama berpasukan yang kukuh antara kepimpinan, pegawai dan kakitangan. Jelasnya, tanpa kerjasama erat, sehebat mana pun perancangan dibuat tidak akan berjaya dilaksanakan.

Majlis malam itu turut diserikan dengan pelancaran Digital Buletin@Kinta, sebuah platform hebahan rasmi yang menumpukan kepada program serta aktiviti di sekitar daerah Kinta.

Sebagai daerah terbesar di Perak, inisiatif digital ini diyakini dapat memperluas capaian maklumat kepada masyarakat setempat, sekali gus mempromosikan pelbagai program pembangunan, sosial dan komuniti.

Digital Buletin@Kinta boleh diakses menerusi portal rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dan dijangka menjadi medium komunikasi yang lebih interaktif seiring aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Encik Zulhisham bin Ahmad Shukori, Pegawai Daerah Kinta; Puan Laila Mazwin binti Zakaria, Ketua Penolong Pegawai Daerah; Puan Noor Aniza binti Mansor, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah); Cik Siti Ruhaya binti Ismail, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) serta penghulu-penghulu mukim.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.