Skip to main content

Malam Mesra Kelab Bakti Gunung Keledang 2/2025.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri ketika Malam Mesra Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) 2_2025

IPOH, 17 September 2025 – YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak hadir bagi menyempurnakan Malam Mesra Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) 2/2025 di Royal Perak Golf Club (RPGC), di sini.

Majlis tersebut diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli, di samping menghargai sumbangan mereka terhadap kelab sejak sekian lama.

Program seumpama ini juga menjadi wadah terbaik buat ahli untuk berkumpul, bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju KBGK dalam merencana pelbagai program kebajikan dan pembangunan komuniti.

Acara malam itu menjadi lebih bermakna apabila YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut dilantik sebagai ahli baharu KBGK, sekali gus menzahirkan sokongan beliau terhadap perjuangan kelab yang berteraskan semangat kebajikan, kesukarelawanan dan ukhuwah.

Turut dilantik sebagai ahli baharu ialah YBrs. Encik Akmal bin Abdul Hamid, yang akan bersama mengukuhkan lagi barisan keanggotaan KBGK yang terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli perniagaan, ahli politik serta golongan profesional pelbagai bidang.

Sejak ditubuhkan pada penghujung tahun 1970-an, KBGK berperanan sebagai sebuah organisasi kebajikan yang bukan sahaja menumpukan aktiviti sosial, malah aktif melaksanakan program pendidikan, ekonomi dan masyarakat melalui biro-biro yang diwujudkan.

Seiring motonya ‘Bersatu, Berbakti Demi Negara’, KBGK sentiasa menjadi landasan penyatuan ahli daripada pelbagai latar belakang untuk bergerak bersama dalam agenda kebajikan dan kemasyarakatan.”

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh; Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak; YBrs. Encik Muhammad Hamzah bin Dato' Md Hamdan, Presiden KBGK; ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan; serta Ahli-Ahli KBGK.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.