Skip to main content

Lebih 500 Peserta Meriahkan Perak Agrofest Fun Run 2025.

Program dimulakan dengan sesi memanaskan badan sebelum memulakan acara larian.

SUNGAI SIPUT, 20 September 2025 – Program Perak Agrofest Fun Run 2025 berlangsung meriah di Arena Sungai Siput (U) pagi ini dengan penyertaan lebih 500 peserta.

Acara pelepasan telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Mohd Zolkafly bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak seawal jam 7.30 pagi, di sini.

Dalam ucapannya, beliau berkata penganjuran Fun Run kali kedua ini diadakan di luar kawasan Ladang Infoternak Sungai Siput bagi memberi peluang lebih luas kepada masyarakat setempat menyertai aktiviti riadah secara inklusif, terbuka dan mesra keluarga.

Katanya, selain menyemarakkan kehangatan Perak Agrofest 2025, penganjuran Fun Run turut menjadi wadah memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat kerajaan negeri bersama jabatan serta agensi yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Hubungan strategik ini, jelasnya, perlu terus diperkukuh agar setiap penganjuran memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

“Harapan saya agar program sebegini perlu diteruskan dan diperluas pada masa hadapan, bukan sahaja untuk tujuan kesihatan dan kecergasan, malah untuk memperkukuh keharmonian serta perpaduan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjemput seluruh rakyat negeri untuk hadir memeriahkan Perak Agrofest 2025 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 September ini di Ladang Infoternak Sungai Siput.

Hadir sama, YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); Encik Ahmad Zulkifli bin Ismail, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perak; YBrs. Dr. Sakduddin bin Zamli, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar serta Khaizurul Ezwan bin Baharuddin, Ketua Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.