Skip to main content

KAMU 2025 Beri Perhatian Khusus TVET.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025.

IPOH, 21 September 2025 - Bertemakan ‘Meraikan Bakat Muda Perak’, Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 memberi tumpuan khusus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata ini kerana Kerajaan Negeri Perak yakin, bahawa TVET itu adalah jambatan masa depan.

Menurut beliau TVET merupakan laluan membina kerjaya masa hadapan dan paling penting, TVET adalah kunci anak muda untuk sama-sama bangkit membangun negeri.

"Negeri kita ini sedang giat kita bangunkan projek-projek berimpak tinggi ini menuntut tenaga mahir dan separa mahir yang bersedia.

"Kesemuanya membawa pelaburan berbilion ringgit serta menjanjikan puluhan ribu peluang pekerjaan dan oleh itu, kita tidak mahu peluang pekerjaan ini disambar oleh orang luar, sedangkan anak Perak hanya menjadi penonton, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 di perkarangan Stadium Indera Mulia, di sini.

Hadir sama YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBrs. Encik Mohamad Hamidi bin Baharuddin, Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Perak merangkap Pengarah KAMU 2025; YBrs. Puan Nur Hanim binti Khairuddin, Pengurus Besar PORT merangkap Pengarah bersama KAMU 2025 serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Menurut YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, dunia pekerjaan hari ini tidak lagi bergantung semata-mata pada sijil akademik, sebaliknya menuntut kemahiran, inovasi dan kreativiti.

Ujar beliau, Kerajaan Negeri Perak telah menubuhkan Majlis TVET Negeri untuk memastikan matlamat menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Negara dapat dicapai.

"Kita sedang memperkasa institut-institut TVET sedia ada di Perak, hampir 100 buah kesemuanya dan kita telah hantar anak-anak muda Perak ke luar negara termasuk China dan Jerman untuk mereka mendalami dan menguasai kemahiran dalam segenap bidang.

"Kita juga telah menjalin kerjasama erat dengan pihak industri, mengadakan program pendedahan kerjaya di sekolah menengah, serta membuka laluan pekerjaan kepada graduan TVET," ujarnya.

Terdahulu, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad sempat melakukan sesi walkabout pada Program AIM TVET With Cikgu Saarani sempena KAMU 2025 di Stadium Indera Mulia.

Memasuki tahun keempat penganjurannya, KAMU 2025 yang bermula secara sederhana kini berkembang menjadi acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh anak muda Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.