DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Merasmikan Sekolah Kebangsaan Seri Serdang, Sitiawan.
Ketibaan baginda disambut meriah bersama pelajar sekolah berkenaan
LUMUT, 23 September 2025 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Sekolah Kebangsaan Seri Serdang, Sitiawan, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan; YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak serta YBhg. Orang Besar-Orang Besar Perak dan isteri
YB Puan Fadhlina binti Sidek dalam sembah ucapan alu-aluannya, Sekolah Kebangsaan Seri Serdang mula ditubuhkan pada tahun 1934 dengan nama Simpang Empat English School di atas tanah milik Dinding Indians Association (DIA).
“Pada tahun 1974, sesi persekolahan menengah ditutup dan sekolah ini berfungsi sepenuhnya sebagai sekolah rendah dengan nama Sekolah Rendah Kebangsaan Simpang Empat.
“Dari tahun 2013 hingga 2023, sekolah ini menumpang di tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam, Sitiawan sebelum berpindah ke bangunan baharu pada 13 Januari 2023 dengan nama Sekolah Kebangsaan Seri Serdang (SESDA).
“Kini, sekolah berkenaan berdiri megah di Mukim Sitiawan, Daerah Manjung atas tanah seluas 2.8 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM19 juta. Pada masa ini, sekolah tersebut mempunyai 611 murid dari peringkat prasekolah hingga Tahun 6, dibimbing oleh 42 guru serta lima orang staf sokongan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, bangunan baharu ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan moden antaranya Makmal Komputer, Bilik Sains, Perpustakaan, Bilik Muzik, Surau, Bilik Bimbingan dan Kaunseling, Bilik Pemulihan, Padang Serbaguna serta bangunan prasekolah.
Moto sekolah iaitu “Jadikan Ilmu Tuntutan Utama (JITU)” dengan slogan Ilmu, Taqwa dan Aspirasi Kecemerlangan menjadi teras utama warga sekolah dalam melahirkan insan berwawasan.
Dalam ucapannya, YB Puan Fadhlina binti Sidek menzahirkan penghargaan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak atas keprihatinan dan sokongan baginda terhadap pembangunan pendidikan di negeri ini.
Katanya, sokongan tersebut bukan sahaja meningkatkan semangat warga pendidikan, malah memberi isyarat jelas kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk terus komited melaksanakan amanah dalam memartabatkan pendidikan negara.
Beliau turut menegaskan pelaksanaan kurikulum di SK Seri Serdang merangkumi pendekatan menyeluruh serta kolaboratif agar keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dinikmati semua murid.
Sekolah itu juga mencatat pelbagai pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum, termasuk kejayaan murid melanjutkan pelajaran ke sekolah berprestij serta meraih kejayaan dalam sukan seperti sofbol, bola tampar, bola baling, memanah, kriket dan olahraga di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
YB Puan Fadhlina binti Sidek berkata, segala pencapaian ini ialah hasil komitmen para guru, semangat murid dan sokongan padu ibu bapa selain kerjasama erat komuniti setempat.
“Kementerian Pendidikan akan terus memastikan setiap dasar dan pelaksanaan pendidikan memberi tumpuan kepada kemenjadian murid, bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut membentuk sahsiah, jati diri yang kukuh serta kemahiran komunikasi yang berkesan untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” ujarnya.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.