Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Rasmi Perak Agrofest 2025.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad menyampaikan sembah ucapan di majlis berkenaan

SUNGAI SIPUT, 27 September 2025 — DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat merasmikan Perak Agrofest 2025, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin.

Hadir sama, YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja bersama isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor.

Turut hadir, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak dan isteri; YB Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan dan isteri; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Orang Besar-Orang Besar Perak dan isteri; YB Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Ahli-Ahli Parlimen Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, Perak Agrofest 2025 ialah medan yang mempertemukan cita dan usaha, menyulam kerjasama antara kerajaan, petani, penternak, nelayan serta penggiat industri makanan.

"Di sinilah terjelma gagasan besar untuk memperkasa sektor pertanian negeri, menyuburkan benih teknologi, memugar tradisi dan memastikan keterjaminan makanan terus terpelihara demi generasi masa hadapan," jelasnya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Perak turut memberi penekanan kepada pembangunan belia tani melalui latihan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agro, sebagai usaha melahirkan generasi baharu petani moden yang lebih berdaya saing dan bersedia meneroka peluang dalam bidang pertanian berteknologi tinggi.

Usaha ini dizahirkan melalui inisiatif tanaman baharu seperti kopi dan Bawang Perak yang kini semakin mendapat tempat di pasaran.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan menyampaikan 15 anugerah kepada para penerima yang terdiri daripada peladang, penternak dan penggiat industri yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Penganjuran Agrofest kali ini menampilkan lebih 60 buah agensi dengan 12 laman pameran utama termasuk Laman Pertanian, Laman Ekonomi Biru, Laman Inovasi dan Teknologi, Laman Padi, Laman Veterinar, Laman Florikultur, Laman Empayar Makanan serta Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT).

Ia sekali gus menjadikan festival ini platform strategik mempamerkan inovasi agro, memperkukuh jaringan industri dan membuka peluang perniagaan baharu.

Perak Agrofest 2025 yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini, bertemakan “Lestari Agro, Perak Makmur”. Ia disasarkan sebagai wadah mengangkat sektor agro sebagai pemacu ekonomi negeri, seiring dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.