Skip to main content

Anugerah Seni Negeri Perak 2025 Rai 19 Penerima.

 YAB Menteri Besar Perak ketika Malam Anugerah Seni Negeri (ASN) Perak 2025

IPOH, 27 September 2025 – Malam Anugerah Seni Negeri (ASN) Perak 2025 berlangsung meriah di Hotel Travelodge, Ipoh malam tadi dengan meraikan 19 penerima dalam pelbagai kategori seni budaya.

Majlis dwitahunan berprestij itu telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, dengan kehadiran lebih 500 tetamu termasuk dif kehormat, penggiat seni, NGO, wakil agensi kerajaan, institusi pendidikan serta media.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menegaskan bahawa seni budaya bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi cermin jiwa bangsa dan aset penting yang menyatukan masyarakat serta memperkukuh identiti negeri.

“Usaha memelihara, memperkasa dan mengembangkan seni budaya adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif yang memperkayakan khazanah budaya Perak.

“Pendigitalan seni budaya juga amat penting agar ia mudah diakses generasi muda, sekali gus memperkukuh pendidikan budaya di sekolah, universiti dan komuniti,” katanya.

Turut hadir, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YBrs. Haji Saiful Khairi bin Ahmad, Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN); YBrs. Encik Hisham bin Mat Husien, Pengarah JKKN Perak; YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

ASN Negeri Perak 2025 menobatkan Encik Rashidi bin Abdul Kharis sebagai Tokoh Sepanjang Zaman, manakala Mannan Miah bin Wabulah diberi penghormatan sebagai Tokoh Seni Negeri Perak 2025.

Antara penerima lain termasuk Encik Muhammad Azhahar bin Omar (Seni Teater), Encik Mohamad Ramdan bin Misnon (Bakat Muda Teater), Encik Mohd Dawan bin Wasidin (Seni Tari), Puan Pakkia Letchumi Paramasivam (Bakat Muda Tari), Encik Ramasubain Pulogasingam (Seni Muzik), Puan Noorhidayah binti Halim (Bakat Muda Muzik), Encik Noor Azman bin Samsudin (Seni Halus), Encik Amrie bin Zakaria (Bakat Muda Seni Halus) dan Encik Mohd Nadzri bin Khalid (Belakang Tabir).

Selain itu, Badan Budaya Perak menerima Anugerah Pendukung NGO Perak, manakala Kelab Kesenian Kompang & Gamelan (Noreasy), Persatuan Nam Hoi Perak, Persatuan Kebudayaan dan Tarian Sri Agni Teluk Intan serta Persatuan Kebajikan dan Adat Masyarakat Orang Asli Semai dan Temiar Perak Tengah turut diberikan pengiktirafan.

Dalam kategori lain, SMK Raja Chulan, Ipoh dinobatkan sebagai Sekolah Harapan Seni Budaya, Malaysia Gazette Perak menerima Anugerah Media, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak diumumkan sebagai penerima bagi kategori Agensi Kerajaan dan Korporat.

Setiap penerima menerima hadiah wang tunai antara RM1,000 hingga RM5,000 berserta plak, sijil dan mock cheque sebagai tanda penghargaan.

Malam penganugerahan turut diserikan dengan persembahan seni serta tayangan khas yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri, JKKN dan Majlis Kebudayaan Negeri Perak dalam memartabatkan seni budaya sebagai warisan abadi.

ASN Negeri Perak akan diteruskan sebagai acara dwitahunan selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang menekankan seni budaya sebagai asas tamadun bangsa, medium penyatuan masyarakat serta pemacu ekonomi kreatif.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.