Skip to main content

Kerjasama Strategik Perak–Selangor Perkasa Pembangunan Kampung Baru Cina.

YB Encik Woo Kah Leong menyampaikan ucapan di majlis berkenaan

IPOH, 9 Oktober 2025 - Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasa pembangunan Kampung Baru Cina menerusi lawatan penanda aras ke beberapa buah lokasi tumpuan pembangunan Kampung Baru Cina di negeri Perak.

Delegasi Kerajaan Negeri Selangor telah diketuai oleh YB Dato’ Ng Suee Lim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Pembangunan Kampung Baru.

Antara lokasi yang dilawati ialah Kampung Baru Papan, Batu Gajah; Setiawan Settlement Museum; Lang Hua Mee Trading; Muzium Warisan Ayer Tawar dan Taman Rakyat@Disneyland, Ayer Tawar.

Delegasi berkenaan berpeluang meninjau secara dekat pelaksanaan model pembangunan bersepadu Kampung Baru yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri Perak, meliputi aspek pemuliharaan warisan, peningkatan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Menurut YB Encik Woo Kah Leong, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Negeri Perak, program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala antara Perak dan Selangor, malah menjadi wadah pertukaran pandangan dan pengetahuan dalam merangka dasar pembangunan Kampung Baru yang lebih inklusif dan menyeluruh.

“Kerjasama ini bukan sekadar memperkukuh hubungan dua negeri, tetapi turut memperluas peluang perkongsian pintar dalam memperkasa Kampung Baru sebagai kawasan berpotensi tinggi untuk pembangunan ekonomi dan sosial negeri,” katanya.

Sementara itu, YB Dato’ Ng Suee Lim menyifatkan pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai model terbaik dalam menyeimbangkan kemajuan dengan pemeliharaan warisan dan budaya masyarakat.

Mengakhiri lawatan tersebut ialah majlis makan malam rasmi yang diadakan di AC Hotel by Marriott bagi meraikan delegasi Kerajaan Negeri Selangor dan memperkukuh lagi hubungan dua hala antara negeri.

Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak serta sesi pertukaran cenderamata antara kedua-dua negeri sebagai simbol penghargaan atas jalinan kerjasama erat.

Hadir sama, Encik Kumaresan A/L Lingam, Timbalan Pengarah Sektoral 1, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak; Puan Shanmuga Sundary A/P Muniandy, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kerajaan Tempatan, SUK Perak; Puan Nur Nadira binti Sulaiman, Penolong Pengarah, UPEN (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan), SUK Selangor.

Program ini secara keseluruhannya mencerminkan komitmen berterusan dua negeri dalam memperkukuh sinergi pembangunan Kampung Baru Cina yang lebih bersepadu, tersusun dan mampan. Usaha ini turut sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan semangat Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara kemajuan serta kesejahteraan rakyat.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.