Kunjungan Hormat YB Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Ke Atas YAB Menteri Besar Perak.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad bersalaman bersama tetamu yang hadir.
IPOH, 19 November 2025 – YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak menerima kunjungan hormat daripada YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Sebaik tiba, YB Dato’ Sri Tiong King Sing menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.
Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Encik Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak; Encik Chua Chun Hua, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), MOTAC; YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia serta pegawai-pegawai kanan MOTAC.
Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut menyerahkan peruntukan berjumlah RM7,157,000.00 kepada Kerajaan Negeri Perak bagi pelaksanaan projek penyelenggaraan berkaitan pelancongan bagi tahun 2025.
Penyerahan simbolik berupa replika cek dilakukan sebagai komitmen berterusan MOTAC terhadap pembangunan produk pelancongan negeri.
Kunjungan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Perak dan MOTAC dalam merancakkan pembangunan sektor pelancongan, khususnya menjelang pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada penyelarasan projek pelancongan negeri, pembangunan produk pelancongan baharu serta pengukuhan usaha promosi dan kolaborasi bersama pemain industri.
Terdahulu, YB Dato’ Sri Tiong King Sing telah melakukan lawatan kerja ke beberapa buah destinasi pelancongan di Lenggong termasuk Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan Galeri Geopark Lenggong bagi meninjau potensi pembangunan produk pelancongan berasaskan warisan dan geologi.
Kemudian diteruskan dengan sesi libat urus bersama penggiat industri di Hotel Casuarina @ Meru bertujuan mendapatkan maklum balas terus daripada pemain industri dalam merangka pelan strategik pelancongan negeri ke arah TMM2026.
Kerajaan Negeri Perak menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama bersama MOTAC dan pemain industri dalam memastikan sektor pelancongan kekal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, seiring aspirasi pembangunan Perak Sejahtera 2030.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.