Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Pemasyhuran PMNS, Bagan Datuk.

YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim bersalaman bersama YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad.

BAGAN DATUK, 20 November 2025 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMNS), di sini, pagi ini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Seri Aznee binti Abu Samah; YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi serta YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama isteri, Datin Che Fauziah binti Ahmad.

Turut hadir, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Orang Besar-Orang Besar Perak dan isteri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Dalam majlis itu, baginda berkenan melafazkan pemasyhuran dan menandatangani plak pemasyhuran sebelum berangkat melawat ruang pameran yang menampilkan pembangunan akademik Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), teknologi maritim dan projek para pelajar.

YB Senator Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir dalam sembah ucapannya berkata, PMNS yang ditubuhkan pada Disember 2016 merupakan politeknik ke-35 negara membawa visi untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maritim.

“Pengambilan sulung tahun 2017 melalui Diploma Seni Bina Kapal menjadikannya satu-satunya politeknik TVET yang memfokuskan maritim dan perkapalan.

"Hari ini, politeknik ini berdiri megah di atas 12.14 hektar tanah, dibangunkan dengan kos RM175 juta, siap sepenuhnya pada tahun 2023 — sebuah mercu ilmu yang mencerminkan tekad Kerajaan memperkasa TVET maritim negara,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan pemasyhuran nama baginda ini bukan sekadar penghormatan, tetapi amanah besar yang memandu seluruh warga politeknik agar sentiasa berpegang kepada nilai murni, maruah dan ketinggian budi sebagaimana yang dizahirkan oleh baginda.

Penubuhan politeknik ini juga adalah seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda Ekonomi Biru untuk memperkukuh kelestarian laut serta teknologi maritim masa hadapan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 16 January 2026, 06:45:36.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.