Skip to main content

DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan Lancar Buku Dokumentasi Burung Di RPGC.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YB Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.

IPOH, 29 November 2025 – DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku “Birds at The Royal Perak Golf Club (Malaysia)” di Dewan Albatross, Royal Perak Golf Club (RPGC) di sini.

Buku tersebut merupakan hasil penulisan dan dokumentasi fotografi YBrs. Dr. Adib Vincent Tung bin Abdullah yang memaparkan lebih seratus gambar spesies burung yang ditemui di kawasan RPGC.

Penerbitan berkenaan turut memuatkan maklumat ringkas mengenai tabiat, habitat serta ciri-ciri unik setiap spesies yang dirakamkan, menjadikannya sumber rujukan visual penting kepada penggemar burung, penyelidik dan komuniti pencinta alam.

Majlis turut dihadiri YB Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; dan YB Dato' Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan yang hadir mewakili YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak.

Sebaik tiba, DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan turut berkenan bergambar bersama penulis, barisan tetamu kehormat serta jemputan khas dan menandatangani replika buku sebagai simbolik pelancaran.

Menurut YBrs. Dr. Adib Vincent Tung bin Abdullah, buku tersebut dihasilkan melalui proses pemerhatian dan dokumentasi yang teliti dan berterusan bersama komuniti pemerhati burung (birdwatchers), menjadikannya sumber rujukan yang komprehensif.

Katanya, kawasan Royal Perak Golf Club bukan sahaja menjadi lokasi aktiviti sukan dan rekreasi, tetapi habitat semula jadi pelbagai spesies burung tempatan serta migrasi, menjadikannya kawasan biodiversiti yang wajar dipelihara.

"Kewujudan pelbagai spesies burung di kawasan ini melambangkan keseimbangan ekologi yang perlu dipelihara. Justeru, buku ini bukan sekadar koleksi fotografi, tetapi usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan melindungi alam sekitar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan atas sokongan berterusan terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar serta pihak pengurusan RPGC yang memberi kerjasama sepanjang proses penyediaan buku berkenaan.

Sementara itu, majlis pelancaran buku tersebut dilihat bertepatan dengan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh agenda kelestarian alam, selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang menekankan keseimbangan pembangunan dengan pemuliharaan warisan semula jadi dan ekosistem negeri.

Penerbitan buku “Birds at The Royal Perak Golf Club (Malaysia)” juga akan menjadi bahan dokumentasi bermanfaat kepada institusi pendidikan dan pihak berkaitan dalam menjalankan kajian hidupan liar serta program konservasi, terutamanya bagi memperkenalkan generasi muda kepada kepentingan memelihara alam sekitar.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 16 January 2026, 06:45:36.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.