Skip to main content

Perhimpunan Bulanan dan Amanat Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Perdana Menteri 

YAB Menteri Besar Perak bersama lebih 300 orang penjawat awam 

IPOH, 5 JANUARI 2026- YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak telah menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Perdana Menteri Malaysia secara dalam talian bersama lebih 300 orang penjawat awam negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dalam ucapannya berkata bahawa kerajaan terus menegaskan komitmen untuk memperkukuh perpaduan nasional, melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh serta memerangi rasuah bagi memastikan Malaysia muncul sebagai negara hebat dan stabil di rantau ini.

Menurut beliau keamanan dan kestabilan negara yang dikecapi hari ini merupakan hasil kerjasama padu rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang jelas membuktikan bahawa kekuatan sebenar negara terletak dalam semangat berpasukan dan kepimpinan yang jelas hala tuju.

“Kita mampu melakukan perkara-perkara yang menakjubkan kerana kita bekerja sebagai satu pasukan yang padu, merangkumi semua negeri, serta dipimpin oleh rakan-rakan Jemaah Menteri bagi melakar hala tuju yang jelas.

“Kita perlu yakin akan keupayaan rakyat dan negara kita, serta memahami kekuatan penjawat awam sebagai tunggak utama dalam merealisasikan cita-cita murni ini, seterusnya mengangkat negara kita sebagai sebuah negara hebat di rantau ini,” katanya ketika di Dewan De’ Seri Endon PUSPANITAPURI, Putrajaya.

Ujar YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim lagi, beliau menggesa agar tindakan tegas diambil untuk membanteras rasuah dan kebejatan pentadbiran yang melibatkan ahli politik, penjawat awam, anggota tentera serta pasukan keselamatan tanpa sebarang pengecualian.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat tanpa pengecualian, dan memberikan sokongan penuh kepada semua badan penguatkuasaan yang hanya boleh dilakukan semasa kuasa berada di tangan kita.

“Namun, diperingatkan kepada badan-badan penguatkuasa, sementara kita harus bertindak tegas dan keras menentang penjenayah dan perasuah, kita harus hormat jalur hukum dan kita juga harus lebih bertanggungjawab mematuhi peraturan dan jangan melanggar peraturan itu,” ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim turut mengumumkan beberapa intipati utama termasuk peruntukan naik taraf sekolah berjumlah RM80 juta kepada SJKC dan RM50 juta kepada SJKT; pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa 1; pemberian SARA RM100 kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas; pelaksanaan Jualan Rahmah Madani serta bantuan awal persekolahan RM150 bagi setiap murid.

Hadir sama, YB Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Wednesday 25 February 2026, 23:34:53.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.