Majlis Literasi dan Apresiasi Pengurusan Kewangan Negeri Perak Tahun 2026
YB Pegawai Kewangan Negeri ketika menyampaikan ucapan.
IPOH, 16 Januari 2026- Kerajaan Negeri Perak terus komited memperkukuh tadbir urus kewangan dengan menganjurkan Majlis Literasi dan Apresiasi Pengurusan Kewangan Negeri Perak Tahun 2026 di Jubilee Ballroom, Royal Perak Golf Club, di sini.
Majlis yang disempurnakan oleh YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak itu bertujuan meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan jabatan dan agensi negeri, di samping memberi pengiktirafan kepada jabatan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan kewangan sepanjang tahun 2025.
Hadir sama, YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); YBrs. Encik Muhammad Nazri bin Abdullah, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri; Ybrs. Puan Noorakmar binti Hussin, Bendahari Negeri; YBrs. Puan Haslina binti Tan Sali, Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Bajet); ketua-ketua jabatan serta wakil-wakil jabatan negeri dan persekutuan.
Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi penyampaian Sijil Apresiasi Naziran ISPEKS Komponen Belanja Tahun 2025 kepada 17 jabatan dan bahagian yang mencatat pencapaian terbaik berdasarkan tahap pematuhan terhadap tatacara kewangan yang berkuat kuasa.
Penilaian naziran ini meliputi lapan skop utama pengurusan kewangan, antaranya pengurusan dokumen dan arahan bayaran, waran peruntukan, perolehan, proses bayaran, panjar wang runcit, tuntutan elaun serta pembayaran gaji.
Antara jabatan dan pejabat yang menerima Sijil Apresiasi tersebut ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Jabatan Pertanian Negeri Perak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Batang Padang, Hilir Perak, Kinta, Perak Tengah dan Kampar, Jabatan Kerja Raya Bagan Datuk serta Pejabat Agama Islam Parit Buntar, Teluk Intan, Muallim, Tapah dan Manjung.
Selain itu, seiring usaha memperkasa pematuhan pengurusan kewangan, kriteria penilaian naziran akan diperluaskan mulai tahun ini dengan merangkumi komponen hasil, aset dan lain-lain di samping mengekalkan komponen belanja sedia ada, serta memperkenalkan kategori khas bagi Pejabat Daerah dan Tanah sebagai galakan kepada pematuhan menyeluruh di peringkat akar umbi.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Taklimat Pekeliling Bil. 1 dan 2 Tahun 2026 serta Taklimat Garis Panduan Pejabat Kewangan Negeri Perak Bil. 1 hingga 9 (GP–PKN 001 hingga 009) yang disampaikan oleh YBrs. Encik Muhammad Nazri bin Abdullah.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh akauntabiliti, integriti serta amalan terbaik pengurusan kewangan selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.