Skip to main content

Integriti Teras Kewajipan Pentadbiran Dan Kesejahteraan Negeri – YAB Menteri Besar Perak.

YAB Menteri Besar Perak ketika melakukan gimik pelancaran Roadmap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030

IPOH, 26 Januari 2026 – Integriti adalah penentu utama kewibawaan sesebuah pentadbiran dalam landskap semasa yang semakin menuntut ketelusan, akauntabiliti dan tanggungjawab daripada pemimpin serta institusi awam.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti dan Antirasuah Perak Sejahtera Tahun 2026 dan Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

“Dalam dunia hari ini, kepercayaan tidak lagi diberi secara automatik. Ia dinilai, diperhatikan dan diuji. Ia tidak dinilai melalui slogan, tetapi melalui tingkah laku sistem dan tindakan seharian. Justeru, integriti bukan lagi isu pinggiran. Ia adalah ukuran sebenar kewibawaan pentadbiran dan kepimpinan.

“Malah, dalam perutusan sempena Wacana Eksekutif 2026 di hadapan para penjawat awam pada minggu lalu, saya turut tekankan bahawa integriti dan ketelusan mesti menjadi standard mutlak pentadbiran. Kerana ia adalah pertahanan paling hadapan dalam perkhidmatan awam,” jelasnya.

Mengulas aspek kepimpinan berintegriti, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata rakyat negeri ini amat bersyukur kerana berada di bawah payung pemerintahan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang sentiasa menekankan kepentingan integriti sebagai asas kesejahteraan negara dan kekuatan sesebuah tamadun.

Menurut beliau, baginda bertitah sempena Sambutan Bulan Integriti Nasional pada 5 November lalu wajar dijadikan pedoman oleh seluruh jentera pentadbiran.

“Ingatan baginda sangat signifikan kerana sejarah sering mengajar kita bahawa kejatuhan sesebuah institusi atau tamadun jarang bermula dengan ancaman dari luar. Sebaliknya, ia sering berpunca daripada pengkhianatan amanah dari dalam apabila integriti terhakis sedikit demi sedikit tanpa disedari,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa pembangunan sosioekonomi sesebuah negeri tidak seharusnya dinilai semata-mata melalui angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atau pembangunan fizikal yang tersergam indah, sebaliknya integriti merupakan roh kepada kemajuan yang mampan dan inklusif.

“Pelabur hanya akan datang apabila mereka yakin sistem pentadbiran kita adil, telus dan berkeupayaan melindungi kepentingan semua pihak. Rakyat pula hanya akan percaya apabila mereka melihat bantuan sampai kepada yang berhak dan peluang diberikan berdasarkan kelayakan, bukan hubungan atau pengaruh,” ujarnya.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Perak telah meletakkan integriti dan tadbir urus baik sebagai tunjang utama Pelan Perak Sejahtera 2030.

"Saya mahu melihat agar kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkukuh, pelaksanaan Strategi Anti Rasuah Organisasi diperkemas, pendigitalan, perkhidmatan dipercepat dan proses perolehan dituntut untuk lebih telus serta akauntabiliti,” katanya.

Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Dato' TPj Ahmad Sabri bin Mohamed, Pengarah SPRM Perak; YBrs. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh; YBhg. Dato’ Anuar bin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; YBhg. Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) serta Puan Nurul Faiz binti Khairol Azmi, Ketua Unit Integriti.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Tuesday 14 April 2026, 09:09:04.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.