Skip to main content

Kunjungan Hormat Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti Dan Antirasuah Dewan Negara Ke Atas Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak.

Sebaik tiba, tetamu bergambar bersama

IPOH, 27 Januari 2026 – Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (JKPK TIA), Dewan Negara telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Dato’ SeriMohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Kunjungan hormat tersebut merupakan sebahagian daripada lawatan kerja JKPK TIA ke negeri Perak yang berlangsung dari 27 hingga 30 Januari 2026.

Lawatan kerja ini bertujuan meneliti dan mengkaji isu-isu berkaitan tatakelola, integriti dan antirasuah serta cabaran dalam penguatkuasaan undang-undang yang dihadapi oleh agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negeri Perak.

Delegasi JKPK TIA yang berjumlah 13 orang diketuai oleh YB Senator Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin, selaku Pengerusi Jawatankuasa dan disertai oleh Ahli-ahli Jawatankuasa serta pegawai sekretariat Parlimen Malaysia.

Dalam sesi pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai peranan Jawatankuasa Pilihan dalam memperkukuh fungsi badan legislatif, amalan terbaik Parlimen serta usaha memperkasa tadbir urus dan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan Dewan Negara dalam memastikan prinsip tatakelola yang baik, integriti dan usaha pembanterasan rasuah terus diperkukuh melalui pendekatan dialog, libat urus dan perkongsian amalan terbaik antara institusi perundangan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Hadir sama, YB Puan Jenny Choy Tsi Jen, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan Encik Mohd Ikram bin Ahmad, Setiausaha Dewan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 17 April 2026, 09:34:37.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.