Skip to main content

Perak Sambut Baik Peluasan Sistem ePenghulu Ke Seluruh Negara : 28 Januari 2026.

YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman turut bergambar bersama para delegasi yang hadir

IPOH, 28 Januari 2026 – Kerajaan Negeri Perak menyambut baik usaha memperluas penggunaan Sistem ePenghulu ke seluruh negara, selaras dengan pelaksanaan sistem digital negeri menerusi Taklimat Sistem ePenghulu kepada semua Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Taklimat tersebut dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), sebelum diteruskan dengan pembentangan terperinci mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.

Menurutnya, Sistem ePenghulu mula dibangunkan pada 2019 dan dilancarkan secara rasmi pada 20 Januari 2020 bagi beralih kepada sistem digital yang sebelum ini dilaksanakan secara manual.

“Sistem ini kini digunakan secara aktif di 76 Pejabat Penghulu di seluruh negeri Perak melibatkan urusan pengesahan dokumen, perakuan permohonan, aduan masyarakat, laporan serta pengurusan pangkalan data,” katanya.

Beliau berkata, sistem berkenaan turut melalui beberapa fasa penambahbaikan termasuk penambahan modul bantuan kerajaan negeri, integrasi data serta menaik taraf infrastruktur sistem dari semasa ke semasa.

Tambahnya, pelaksanaan Sistem ePenghulu telah menerima pengiktirafan apabila memenangi Anugerah Inovasi Menteri Besar Perak (AIMB) 2022, selain dilindungi di bawah Akta Hak Cipta sebagai harta intelek milik Kerajaan Negeri Perak.

Seterusnya, YBrs. Dr. Mohd. Sani bin Kamaruddin, Penghulu Besar Mukim Ulu Kinta meneruskan sesi taklimat dengan pembentangan Sistem ePenghulu secara langsung kepada para peserta.

Dalam taklimat sama, Sistem eP Kerja dan Sistem SPA Perak turut diketengahkan sebagai platform sokongan kepada pengurusan kerja dan sumber manusia bagi memperkukuh ekosistem pendigitalan perkhidmatan awam negeri.

Terdahulu, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Sistem ePenghulu yang dilaksanakan di Perak akan diadaptasi ke seluruh negara bagi memperkukuh pemantauan, pengumpulan data serta pelaksanaan program pembangunan luar bandar.

Menurut beliau, sistem digital itu ketika ini hanya digunapakai di Perak, namun akan diperluaskan bagi membolehkan pemantauan bukan sahaja melibatkan peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), malah dana yang disalurkan oleh kementerian-kementerian lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Mesyuarat Pelarasan Antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco Luar Bandar (MEXCLUB) pada 16 Disember 2025.

Hadir sama, YBhg. Dato’ Ab Rasid bin Jusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pengurusan, Negeri Terengganu Darul Iman; YBhg. Dato' Dr. Nadzman bin Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kedah; Encik Mohd Azraie bin Harun, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM); Encik Zulhisham bin Ahmad Shukori, Pegawai Daerah Kinta; Encik  Zolkefli bin Mohd Idris, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Digital; Puan Anita binti Amri, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Korporat; Puan Rohainun binti Rasdi, Penolong Pengarah Pembangunan Daerah, Pentadbiran dan Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta Encik Muhammad Faiz bin Mohd Saad, Penolong Pengarah Belanjawan, UPEN.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 09 April 2026, 08:20:26.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.