Skip to main content

Kerajaan Negeri Perak Perkukuh Pendekatan Bersama Rakyat Menerusi Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan 2026 : 29 Januari 2026.

Bagi penganjuran kali ini, sebanyak 96 kaunter perkhidmatan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri disediakan, termasuk dua kaunter bergerak dan Jualan Rahmah

IPOH, 29 Januari 2026 – Penganjuran siri pertama Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) tahun ini merekodkan 216 aduan, membuktikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Kerajaan Negeri Perak dalam menyelesaikan pelbagai isu dan aduan.

Menurut YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan sebanyak 1,011 aduan daripada 1,119 aduan yang diterima pada tahun 2025 menerusi lapan siri HBP.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program HBP siri pertama yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, di sini.

Bagi penganjuran kali ini, sebanyak 96 kaunter perkhidmatan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri disediakan, termasuk dua kaunter bergerak dan Jualan Rahmah.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri Perak turut menghargai pencapaian atlet negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui pemberian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak Tahun 2025 kepada 40 atlet berjumlah RM45,650, serta Insentif Kemenangan Sukan SEA Thailand 2025 kepada 45 atlet anak Perak berjumlah RM93,800.

Pendekatan menyeluruh yang menggabungkan agenda rakyat dan pembangunan negeri ini mencerminkan keupayaan Kerajaan Negeri Perak mengoptimumkan sumber, memudahkan akses perkhidmatan serta memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Hadir sama,YB Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; Pegawai Kewangan Negeri Perak serta YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan kepimpinan kontinjen Negeri Perak bagi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 di Selangor sebagai langkah awal memperkukuh persediaan negeri menghadapi temasya berprestij tersebut.

Kontinjen Negeri Perak diterajui oleh YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim selaku Chef de Mission, dibantu YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin dan YBhg. Datuk Leong Mun Yee, bekas atlet penerjun negara sebagai Timbalan Chef de Mission.

Kerajaan Negeri Perak juga memperkukuh sokongan pembangunan sukan menerusi pelaksanaan Sistem Angkat serta penyerahan bas baharu Majlis Sukan Negeri Perak bagi memudahkan logistik dan kebajikan atlet menjelang SUKMA 2026.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 09 April 2026, 08:20:26.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.