Skip to main content

MB Perak Terajui Delegasi Negeri, Perkukuh Jaringan Strategik Bersama Kerajaan Negeri Melaka : 6 Februari 2026.

YAB Menteri Besar Perak mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Perak ketika sesi kunjungan hormat ke atas YAB Ketua Menteri Melaka

MELAKA, 6 Februari 2026 — YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Perak bagi mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini.

Kunjungan itu menjadi kemuncak hari ketiga Perak Sejahtera 2030: State Leadership Retreat 2026 (SLR 2026), sekali gus membuka ruang pertukaran pandangan mengenai pendekatan pembangunan negeri yang berimpak tinggi, khususnya dalam bidang pelancongan, ekonomi kreatif, pendigitalan serta pelaksanaan inisiatif bandar pintar.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak berkongsi amalan terbaik dan pengalaman pentadbiran, termasuk strategi Melaka dalam memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan pengurusan bandar secara bersepadu.

Terdahulu, delegasi Kerajaan Negeri Perak diberi taklimat serta mengadakan lawatan ke Command Centre Negeri Melaka bagi meninjau pengoperasian pusat kawal selia digital bersepadu yang berfungsi sebagai platform pemantauan keselamatan, pengurusan bandar pintar serta penyelarasan maklumat strategik Kerajaan Negeri Melaka.

Delegasi turut dibawa melawat Dewan Undangan Negeri Melaka sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan kerja, sekali gus memberi pendedahan kepada aspek pentadbiran legislatif serta pengurusan fasiliti institusi demokrasi negeri itu.

Hadir sama YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Datuk Wira Azhar bin Arshad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak serta YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

Lawatan tersebut dilihat selari dengan agenda transformasi digital negeri Perak di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, khususnya dalam usaha memperkasa penggunaan data dan teknologi pintar bagi meningkatkan keberkesanan tadbir urus serta kesejahteraan rakyat.

Program SLR 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 Februari itu menghimpunkan barisan pimpinan utama negeri, ketua jabatan, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi merencana hala tuju penggal kedua Pelan Perak Sejahtera 2030.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 09 April 2026, 08:20:26.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.