Skip to main content

Kerajaan Negeri Komited Perkukuh Pendekatan Turun Padang Dan Mendekati Rakyat Melalui HBP : 16 Mac 2026.

YAB Menteri Besar Perak ketika Program MESRA HBP Kerajaan Negeri Perak Siri Kedua Tahun 2026

IPOH, 16 Mac 2026 - Kerajaan Negeri Perak terus komited memperkukuh pendekatan turun padang dan mendekati rakyat melalui penganjuran Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Siri Kedua Tahun 2026 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Program yang menghimpunkan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan negeri itu memberi ruang kepada rakyat untuk mengemukakan aduan, cadangan dan mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada pihak berwajib.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata, Program HBP kali ini melibatkan sebanyak 96 kaunter khidmat pelanggan daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta satu kaunter bergerak.

“Bagi penganjuran kali ini, sebanyak 175 aduan diterima melibatkan pelbagai isu rakyat dan setakat siri yang lepas, kita telah menerima sejumlah 285 aduan.

“Daripada jumlah tersebut, 236 (83%) telah diselesaikan, manakala 49 (17%) aduan masih dalam proses tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 2 Tahun 2026.

Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, selain kaunter khidmat pelanggan program ini turut menampilkan pengisian tambahan seperti Jualan Murah oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).

“Selain itu, turut diadakan Jualan Rahmah oleh MYDIN dan Berkat Jaya, serta jualan kuih raya oleh enam usahawan berdaftar di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP).

“Ia diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan serta persiapan perayaan pada harga yang lebih murah dan berpatutan, sekali gus membantu meringankan kos perbelanjaan mereka,” katanya.

Terdahulu, pada sebelah pagi, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkesempatan merasmikan Van Perpustakaan Digital Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPK).

Van Perpustakaan Digital PPANPk merupakan satu inisiatif inovatif oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) bagi membawa perkhidmatan perpustakaan secara bergerak kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar atau kawasan yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan perpustakaan.

Dengan konsep “Ilmu di Hujung Jari, Menghubungkan Komuniti”, van ini berfungsi sebagai pusat pembelajaran bergerak yang menggabungkan bahan bacaan, teknologi digital dan aktiviti pendidikan interaktif.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 17 April 2026, 09:34:37.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.