Skip to main content

YAB PM Sempurnakan Majlis Perasmian PMR 2026 Perak : 4 April 2026.

YAB Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan perasmian

IPOH, 4 April 2026 – YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini.

Program berskala besar yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berlangsung dalam suasana meriah dengan berjaya menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu platform bersepadu, sekali gus membuka ruang interaksi yang lebih dekat antara kerajaan dan masyarakat.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim menegaskan bahawa penganjuran program seumpama ini bertujuan memastikan rakyat dapat memahami dengan lebih jelas setiap langkah dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Sebab itu pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk menjaga reruai berkenaan, diminta bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi memberi ruang juga kalau ada teguran, kritikan atau pandangan daripada rakyat supaya dapat kita perbaiki dan tingkatkan prestasi.

"Itulah semangat apa yang disebut dalam rumusan hadis Nabi Muhammad SAW, ‘Itqan Fil Amal’ – sentiasa ada hasrat kita untuk meningkatkan usaha supaya kita cakap ke tahap yang lebih baik," katanya ketika menyampaikan ucapan.

Hadir sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan; YB Ahli-Ahli Jemaah Menteri; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara sertaYB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Turut hadir, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Parlimen; Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Pada majlis tersebut, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada beberapa orang penerima melalui inisiatif Program Sentuhan Kasih KPKT.

Program Sentuhan Kasih KPKT merupakan inisiatif turun padang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyantuni rakyat, memantau projek pembangunan, serta menyalurkan peruntukan segera bagi prasarana awam.

Dalam perkembangan sama, sehingga 4 April 2026, jumlah keseluruhan pengunjung yang direkodkan mencecah 100, 000 orang, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa serta keterujaan masyarakat terhadap penganjuran PMR 2026 Negeri Perak.

Kehadiran yang memberangsangkan ini turut menggambarkan keyakinan dan minat tinggi rakyat untuk mendapatkan akses terus kepada pelbagai perkhidmatan serta inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Tuesday 14 April 2026, 09:09:04.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.