Skip to main content

JPA Pilih Perak Perkasa Komuniti Menerusi Program Kampung Dan Sekolah Angkat MADANI : 11 April 2026.

Kampung ini merupakan tempat kelahiran pelukis kartun No. 1 Malaysia, YBhg Dato' Mohd Nor bin Khalid

KAMPAR, 11 April 2026 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus memperkukuh peranan sebagai pemacu kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Kota Bharu, di sini, hari ini.

Majlis program itu disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dengan kehadiran kira-kira 600 tetamu terdiri daripada penduduk setempat, warga sekolah serta rakan strategik pelbagai agensi kerajaan.

Program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada 2024 itu merupakan pendekatan proaktif kerajaan dalam memastikan dasar yang dirangka di peringkat pusat diterjemah secara berkesan di lapangan, khususnya dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar secara inklusif.

Sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program berkenaan, ia melibatkan RM500,000 di bawah komponen Kampung Angkat MADANI (KAM) dan RM100,000 bagi Sekolah Angkat MADANI (SAM).

Mengulas lanjut, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz berkata peruntukan di bawah KAM akan dimanfaatkan melalui pelaksanaan lapan projek fizikal berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada kehidupan harian penduduk.

“Melalui Program Kampung Angkat MADANI 2026, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 khusus untuk kampung ini. Kami mahu penduduk melihat perubahan nyata dengan pelaksanaan lapan projek fizikal yang memberi manfaat langsung kepada komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut.

Beliau berkata antara projek yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf dan baik pulih balai raya serta masjid bagi meningkatkan keselesaan penduduk untuk berkumpul dan beribadah.

Selain itu, katanya, projek turut melibatkan menaik taraf balai polis serta pemasangan lampu solar di lorong-lorong gelap bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya, kemudahan kesihatan juga diberi perhatian melalui naik taraf klinik kesihatan sedia ada agar lebih kondusif kepada warga emas dan kanak-kanak, di samping menaik taraf gelanggang pelbagai guna bagi menyediakan kemudahan riadah yang lebih baik kepada golongan belia.

“Selain itu, pembinaan mercu tanda kampung serta naik taraf astaka Sekolah Kebangsaan Kota Bharu akan dilaksanakan sebagai simbol kemajuan pendidikan dan identiti komuniti setempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata komponen Sekolah Angkat MADANI pula memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pendidikan melalui naik taraf makmal sains, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta pembekalan komputer bagi menyokong pembelajaran abad ke-21.

Beliau menegaskan program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan perkhidmatan awam dalam memastikan setiap dasar kerajaan bukan sahaja dirancang, tetapi dilaksanakan secara berkesan dan dirasai di peringkat akar umbi.

Seterusnya, ia turut disusuli dengan Program Ziarah Cakna Sentuhan Kasih bagi menyantuni pesara kerajaan di kampung berkenaan.

Program ziarah itu melibatkan empat orang pesara yang memerlukan sokongan termasuk bantuan keperluan asas dan peralatan mobiliti seperti kerusi roda serta bantuan kebajikan lain sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada perkhidmatan awam.

Hadir sama, YBhg. Puan Sri Dr. Azlifah binti Bahari, isteri kepada KPPA merangkap Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil JPA; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad merangkap Pengerusi PUSPANITA Cawangan Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-undang Negeri Perak; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); Encik Mohamad Kamil bin Mohamad Kasim, Pegawai Daerah Kampar; Ir. Haji Zamri bin Mat Kasim, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak; Encik Ahmad Suqairy bin Alias, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 17 April 2026, 09:34:37.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.