DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Rasmi Hospital Seri Iskandar : 14 Mei 2026.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ketika menyempurnakan lafaz perasmian
SERI ISKANDAR, 14 Mei 2026 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Hospital Seri Iskandar, di sini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri YBhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan dan isteri, YBhg. Datin Seri Azlin binti Heri; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri, YBhg.Datin Seri Aznee binti Abu Samah serta YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad.
Turut hadir, YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Hajjah Hanifah binti Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan; YBhg. Dato' Dr. Feisul Idzwan bin Dato' Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak; Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran sebelum baginda berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.
Usai sesi tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan melawat ruang pameran, majlis santapan serta meneruskan lawatan ke bangunan Hospital Seri Iskandar sebelum berangkat pulang.
Terdahulu, YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad dalam sembah ucapannya berkata, Hospital Seri Iskandar yang dibina dengan kos RM162.3 juta tanpa sebarang kelewatan adalah satu serahan tulus kerajaan demi menyokong visi Perak Sejahtera.
“Hospital ini membawa satu sinar harapan kepada lebih 94,000 penduduk di 12 mukim di Perak Tengah dan jika dahulu, warga emas dari Pasir Salak atau ibu-ibu dari Pulau Tiga mungkin terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan pakar, kini, kemudahan bertaraf dunia sudah berada di depan mata mereka.
“Turut dimaklumkan, seramai hampir 40,000 orang pesakit telah hadir mendapatkan rawatan di sini dan angka ini adalah testimoni peri pentingnya hospital ini sebagai “Nadi Kehidupan” bagi penduduk setempat,” katanya.
Mula beroperasi secara rasmi pada 11 Disember 2024, Hospital Seri Iskandar dibangunkan bagi menggantikan Hospital Changkat Melintang yang telah beroperasi sejak tahun 1971.
Hospital ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk Dewan Bersalin, Unit Hemodialisis dan High Dependency Unit (HDU) bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.