Guru Bitara Nadi Negara : YAB PM Seru Guru Pertahan Nilai Kemanusiaan, KPM Umum 12 Inisiatif Baharu Pendidikan : 16 Mei 2026.
Ketibaan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim disambut oleh para tetamu yang hadir
IPOH, 16 Mei 2026 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri menyeru warga pendidik supaya terus mempertahankan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan akhlak dalam sistem pendidikan negara ketika dunia kini berhadapan pelbagai cabaran teknologi serta perubahan global.
Beliau berkata, walaupun negara perlu bergerak pantas dalam bidang kecerdasan buatan (AI), digital dan teknologi baharu, pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada usaha membentuk peribadi dan sahsiah generasi masa hadapan.
“Kita tidak mahu ketinggalan dalam teknologi baharu dan AI, tetapi dalam semua usaha mencapai kemajuan itu, jangan sesekali kita abaikan nilai kemanusiaan dan akhlak masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 Tahun 2026 di Hotel Casuarina@Meru, di sini.
Menurut beliau, kerajaan MADANI terus memberikan keutamaan kepada sektor pendidikan termasuk peningkatan gaji dan elaun guru serta pelbagai usaha menaik taraf kemudahan sekolah di seluruh negara.
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim berkata, sebanyak 3,150 pertambahan guru baharu diluluskan oleh kerajaan, menjadikannya rekod tertinggi dalam sejarah negara sejak merdeka.
Selain itu, kerajaan turut melaksanakan projek penyelenggaraan dan naik taraf bilik guru di 3,500 sekolah serta penyelenggaraan lebih 8,700 unit kuarters guru di seluruh negara.
“Kalau wang tidak ada, saya cari juga. Pendidikan mesti diberi keutamaan kerana masa depan negara bergantung kepada kejayaan sistem pendidikan kita,” katanya.
Sementara itu, YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan dalam ucapan aluannya berkata tema “Guru Bitara, Nadi Negara” dipilih bagi mengangkat peranan guru sebagai pemacu utama reformasi pendidikan negara serta pembentukan generasi masa hadapan yang berdaya tahan dan berakhlak.
Pada majlis tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengumumkan 12 inisiatif baharu bagi memperkukuh dan mengasah kemahiran para pendidik di negara ini.
Antaranya termasuk kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap 1 (L1) dan Tahap 2 (L2) secara percuma kepada semua guru bagi menyokong pembangunan profesional dalam literasi digital.
“Inisiatif ini melibatkan kos RM40 bagi setiap guru untuk GCE L1 dan RM100 bagi GCE L2,” jelasnya.
Menurut beliau, Malaysia kini diiktiraf sebagai negara nombor satu dunia bagi jumlah pendidik bertauliah Google yang masih aktif melibatkan 60,000 pemegang sijil GCE Tahap 1 dan 33,000 pemegang sijil GCE Tahap 2.
Selain itu, KPM turut memperkenalkan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Khas kepada guru-guru yang berkhidmat di sekolah rintangan di bawah ProKhas termasuk Sekolah Dalam Hospital, Sekolah Terapung serta sekolah pedalaman di kawasan P1, P2 dan P3.
“Mereka akan dipilih mengikuti program sarjana dan doktor falsafah sebagai menghargai pengorbanan mendidik anak bangsa dalam keadaan yang mencabar,” katanya.
KPM juga memperluaskan Biasiswa Perguruan Persekutuan kepada pemimpin sekolah untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana serta memperkenalkan Projek NODE (Network Offline Digital Environment) bagi memastikan akses pembelajaran digital dapat diteruskan walaupun tanpa capaian internet khususnya di kawasan pedalaman dan pulau.
Bagi tujuan tersebut, Yayasan Guru Tun Hussein Onn memperuntukkan RM1 juta bagi memperkukuh pelaksanaan program itu di bawah Program Sekolah Terintang, manakala kerajaan MADANI dan KPM memperuntukkan sebanyak RM169 juta bagi membekalkan peranti kepada setiap sekolah di seluruh negara.
Bagi meningkatkan kesejahteraan guru, KPM turut menambah RM100 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf bilik guru menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan meningkat kepada RM200 juta, selain tambahan RM50 juta untuk penyelenggaraan kuarters guru.
Pada masa yang sama, sistem perekodan kokurikulum secara manual dimansuhkan dan pihak sekolah diberikan autonomi untuk menguruskan perekodan kokurikulum sebelum maklumat direkodkan ke dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
KPM turut memperuntukkan RM10.5 juta bagi menyediakan bahan bacaan tambahan untuk semua 10,515 buah kelas prasekolah di seluruh negara menerusi Program PAKAT, selain RM122.4 juta bagi menyokong pelaksanaan program strategik sekolah termasuk STEM dan TVET di peringkat sekolah.
“Semua peruntukan ini akan disalurkan terus ke sekolah supaya guru-guru dapat melaksanakan program yang memberi impak secara langsung kepada murid,” katanya.
YB Puan Fadhlina binti Sidek berkata bantuan RM1,000 akan disalurkan melalui Yayasan Guru Tun Hussein Onn kepada anak guru yang memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan SPM 2025, selain pengumuman moratorium sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan untuk bayaran sewaan kantin sekolah.
Hadir sama, Isteri kepada YAB Perdana Menteri, YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YB Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara serta YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Turut hadir, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YB Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan; YBhg. Dato' Wan Hashim bin Wan Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam bin Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.