Kerajaan Tambah Peruntukan RM900 Juta, Bina 6,000 Bilik Darjah Baharu : 16 Mei 2026.
YAB Perdana Menteri ketika Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Kementerian Pendidikan kepada Kontraktor Kecil Bumiputera
IPOH, 16 Mei 2026 - Kerajaan menambah peruntukan tambahan keseluruhan RM900 juta berbanding RM500 juta sebelum ini bagi pembinaan 6,000 bilik darjah baharu sekolah rendah di seluruh negara.
YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri berkata, langkah tersebut merupakan antara mekanisme bagi memastikan keperluan ruang pembelajaran murid, khususnya murid Tahun Satu, dapat dipenuhi dengan lebih sempurna.
"Tambahan peruntukan tersebut bersifat kritikal kerana Kementerian Pendidikan telah memaklumkan berlakunya peningkatan keperluan bilik darjah susulan pertambahan pendaftaran murid.
“Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan kekurangan bilik darjah pada saat akhir yang boleh menjejaskan proses pembelajaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Kementerian Pendidikan kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Dewan Serbaguna, Jabatan Pendidikan Perak, di sini.
Hadir sama YB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan; YB Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Ujar YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim lagi, pada Belanjawan 2026 sebelum ini, Kerajaan telah umumkan RM400 juta untuk pembinaan 2,500 bilik darjah tambahan melibatkan lebih 800 sekolah.
“Namun, selepas penilaian semula dan unjuran semasa, kerajaan bersetuju menambah peruntukan daripada RM500 juta kepada RM900 juta untuk membina 6,000 bilik darjah,” katanya.
Pada majlis tersebut, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim telah menyerahkan 100 Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor bagi pelaksanaan pembinaan bilik darjah baharu.
Terdahulu, Anwar Ibrahim turut menyempurnakan Majlis Peluncuran Skim PADURI MADANI anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Skim PADURI MADANI merupakan inisiatif pembiayaan mikro baharu AIM yang diperkenalkan khusus bagi memperkasa usahawan wanita dalam kumpulan B40.
Melalui peruntukan berjumlah RM230 juta, skim tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 29,000 usahawan baharu menerusi pembiayaan antara RM3,000 hingga RM30,000.
Daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus dana diperuntukkan kepada usahawan luar bandar, manakala baki 40 peratus lagi disalurkan kepada usahawan bandar.
Inisiatif berkenaan diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan wanita untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan keluarga serta merancakkan pertumbuhan ekonomi akar umbi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.