Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Rasmi Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah : 16 Jun 2026.

Baginda bertitah bahawa pusat ini bukan sahaja dilengkapi kemudahan dan teknologi moden, malah diperkasa oleh tenaga pakar dalam pelbagai bidang

IPOH, 16 Jun 2026 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah, Bandar Meru Raya, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah.

Dalam majlis tersebut, baginda bertitah bahawa pusat ini bukan sahaja dilengkapi kemudahan dan teknologi moden, malah diperkasa oleh tenaga pakar dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, fisioterapi, terapi pekerjaan dan vokasional, bimbingan sosial serta sokongan psikologi bagi menyediakan perkhidmatan rehabilitasi yang bersepadu.

“Pusat ini tidak sekadar sebuah kemudahan kesihatan, tetapi melambangkan satu penghijrahan pemikiran - penghijrahan pendekatan, merealisasikan wawasan dan hasrat negara mahu mencanggihkan perkhidmatan rehabilitasi ke tahap yang lebih maju dan berteknologi tinggi, diperkukuhkan dengan perkhidmatan yang mengutamakan nilai kemanusiaan dan menghayati nilai keinsanan.

“Pusat ini harus dilihat sebagai satu simbol bahawa negara menghargai setiap nyawa, setiap pekerja dan setiap keluarga; simbol bahawa musibah bukan noktah terakhir kepada kehidupan; simbol bahawa dengan sistem yang betul, masyarakat yang peduli dan peluang yang disediakan, seseorang insan tidak perlu hidup atas ihsan bantuan orang lain, tetapi boleh kembali membina masa hadapan yang bermaruah,” titah baginda.

Seiring dengan titah tersebut, YB Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan dalam sembah ucapannya turut menekankan peranan pusat rehabilitasi berkenaan sebagai pemangkin baharu kepada pembangunan perkhidmatan rehabilitasi negara.

Menurutnya, pusat rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara itu mula dibangunkan pada 2 Mei 2022 di kawasan seluas 38.47 ekar dan siap sepenuhnya dalam tempoh hampir empat tahun.

Tambahnya lagi, fasiliti ini menjadi mercu tanda baharu dalam bidang perubatan rehabilitasi negara dengan menggabungkan elemen warisan budaya Perak iaitu Tekat Timbul Benang Emas dan seni bina futuristik berteknologi tinggi serta dilengkapi pelbagai kemudahan utama termasuk penginapan, Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCMC) serta Litar Latihan Keselamatan Motosikal (MSTT).

Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk); YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak; YBhg. SS Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak; YBhg. Dato’ Sri Subahan bin Kamal, Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 19 June 2026, 15:48:25.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.