YB SUK Perak Seru MBI Utamakan Perkhidmatan Teras Demi Kesejahteraan Rakyat : 25 Jun 2026.
YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim menyampaikan ucapan di majlis berkenaan
IPOH, 25 Jun 2026 – YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menyeru Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) agar terus memberi keutamaan kepada tanggungjawab teras selain memperkasa inovasi dan agenda bandar pintar yang selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Keterampilan MBI Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), hari ini.
Menurut beliau, agenda bandar pintar tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai penggunaan aplikasi, sistem atau teknologi moden, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berkesan kepada rakyat.
"Rakyat bukan hanya mahu melihat data, angka atau sistem yang canggih. Mereka mahu merasakan kesejahteraan bandar itu sendiri melalui perkhidmatan yang lebih cekap, urusan yang lebih cepat, tindakan yang pantas dan persekitaran bandar yang lebih selesa untuk didiami," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan MBI sebagai antara pihak berkuasa tempatan yang menjadi kebanggaan Kerajaan Negeri Perak hasil kecemerlangannya menerajui pelbagai inisiatif strategik negeri.
"Banyak usaha pemodenan pentadbiran dan pengurusan kita serahkan kepada MBI. Produk seperti Park@Perak dan Smart I-Box diuruskan oleh MBI. Hasil usaha gigih warga kerjanya, ia telah memajukan nama baik negeri Perak hingga termasyhur di peringkat nasional," katanya.
Menyentuh pembangunan ekonomi, beliau berkata MBI turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Ipoh sebagai destinasi pelancongan utama melalui pembangunan dan penambahbaikan pelbagai produk pelancongan seperti Concubine Lane, Tasik Cermin, Ipoh Night Market dan Bazar Karat Ipoh.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap prestasi kewangan MBI yang terus kukuh apabila merekodkan lebihan pendapatan sebanyak RM33.77 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM25.89 juta pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 30.44 peratus, sekali gus mencerminkan keupayaan MBI mengurus sumber kewangan secara berhemah dan berintegriti.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 kepada 176 orang pegawai MBI, manakala 60 orang pegawai menerima Anugerah Keterampilan Tahun 2025 sebagai penghargaan atas prestasi dan sumbangan cemerlang mereka kepada organisasi.
Mengakhiri ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah serta merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MBI atas komitmen dan dedikasi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Hadir sama, YBrs. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh; YBhg. Dato' Haji Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis; Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis dan Encik A'zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya MBI.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.