Warisan Budaya Perlu Dihidupkan, Diwarisi Dan Dimanfaatkan – YAB Menteri Besar Perak : 27 Jun 2026.
Ketibaan YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad disambut meriah oleh orang ramai yang hadir ke majlis berkenaan
IPOH, 27 Jun 2026 – Budaya seharusnya dilihat sebagai satu amanah dan tidak dibiarkan sekadar menjadi bahan pameran atau nostalgia, sebaliknya perlu terus hidup dalam keluarga, masyarakat serta menjadi sebahagian daripada jiwa generasi muda.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata, budaya hanya akan terus bernyawa apabila ada insan yang menjaga, mewarisi dan mempertahankannya daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
“Budaya hidup kerana ada insan yang menjaganya, mewariskannya dan mempertahankannya dari satu generasi kepada generasi yang berikutnya.
“Di sebalik sehelai songket, ada tangan yang sabar menenun benang demi benang. Di sebalik ukiran kayu, ada pengukir yang menghabiskan puluhan tahun menyempurnakan kemahirannya. Di sebalik setiap juadah tradisi, ada resipi yang diwariskan daripada seorang ibu kepada anaknya, daripada seorang datuk kepada cucunya.
“Warisan tidak muncul dengan sendiri. Ada manusia yang mengabdikan seluruh hidup mereka supaya warisan itu tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian dan Malam Gala Pelancaran Festival Budaya Malaysia 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru Raya, di sini.
Tambahnya, Perak merekodkan lebih 10.4 juta pelancong domestik bermalam dan lebih 23.6 juta pelawat domestik secara keseluruhannya.
Katanya, bagi Kerajaan Negeri Perak, kejayaan sebenar sektor pelancongan bukan hanya diukur melalui data statistik, tetapi apabila ia membuka pintu rezeki kepada rakyat.
“Bagi Kerajaan Negeri Perak, kejayaan sebenar adalah apabila kehadiran pelawat membuka pintu rezeki kepada rakyat.
“Ada yang mendapat rezeki apabila hotel menerima tempahan, restoran dipenuhi pelanggan, peniaga kecil menumpang limpahan rezeki dan pengusaha kraftangan menerima tempahan.
“Pemandu pelancong, pemandu e-hailing turut mendapat ruang menambah pendapatan, manakala anak muda melihat bahawa budaya juga mampu menjadi sumber rezeki. Inilah kekuatan pelancongan budaya, ia menghubungkan warisan dengan ekonomi rakyat,” katanya.
Sementara itu, YB Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam ucapan aluannya berkata, pihaknya mahu melihat usahawan kraf, pengusaha makanan tradisional serta kumpulan teater dan tarian tradisional di Perak terus aktif, berdaya saing dan mendapat manfaat ekonomi secara langsung daripada rantaian industri pelancongan.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperuntukkan sebanyak RM44.18 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi pembangunan pelancongan dan kebudayaan di Perak melibatkan 13 projek.
Beliau berkata, enam daripadanya merupakan projek pembangunan berskala besar berjumlah RM42.79 juta, termasuk pemuliharaan Menara Condong Teluk Intan, naik taraf Kinta Riverwalk, pembangunan Lumut Mangrove Discovery Center, pembangunan Persisiran Sungai Bernam dan pembangunan Eko Pelancongan Lata Puteh.
Selain itu, tujuh projek penyelenggaraan serta peningkatan kemudahan pelancongan berjumlah RM1.39 juta turut dilaksanakan, antaranya di Jeti Kelip-Kelip Kampung Dew, Taman Eko Rimba Ulu Licin, Drop Area Water Rafting Gopeng, River Cruise Hilir Perak, Galeria Perbandaran Taiping, Pulau Petanda dan Kinta Riverwalk.
Katanya, selain peruntukan fizikal, MOTAC turut menyediakan insentif menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) serta bantuan aktiviti seni dan budaya kepada persatuan serta penggiat seni tempatan di Perak.
Hadir sama, YB Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Dato’ Shahruddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC serta YB Encik Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.