Skip to main content

Kunjungan Hormat Delegasi Sekretariat SUKMA 2026 Ke Perak : 30 Jun 2026.

YB Dato' Khairudin bin Abu Hanipah bergambar bersama para delegasi

IPOH, 30 Jun 2026 – Delegasi Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Negeri Selangor mengadakan lawatan kerja dan kunjungan hormat ke negeri Perak bagi membincangkan persiapan penganjuran temasya SUKMA XXII Selangor 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Delegasi tersebut diketuai oleh YB Tuan Mohamad Najwan bin Halimi, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor bersama YBhg. Dato’ Mohd Yazid bin Sairi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) selaku Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat dan Encik Mohamad Nizam bin Marjugi, Ketua Pegawai Operasi Sekreatriat.

Sebaik tiba, delegasi telah disambut oleh YB Dato' Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

Hadir sama, Encik Haji Mazlan bin Mohamad, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak; Puan Nuruljaswa binti Abd Hamid, Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan; Puan Anita binti Amri, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Korporat; Encik Mohammad Amirulhadi bin Mohammad Hafed, Pegawai Khas 2 kepada YAB Menteri Besar Perak (Unit Pentadbiran dan Kewangan); barisan Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri Perak serta Pegawai Sekretariat Delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXII (22) Selangor 2026.

Lawatan kerja itu bertujuan membincangkan secara menyeluruh dan komprehensif berkaitan persiapan dan pengoperasian kontinjen SUKMA Negeri Perak sempena Temasya SUKMA XXII Selangor 2026 yang akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Khairudin bin Abu Hanipah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Sekretariat SUKMA 2026 atas kunjungan hormat tersebut yang menjadi platform perkongsian maklumat serta penyelarasan antara tuan rumah dan kontinjen negeri, khususnya menjelang persiapan akhir penganjuran SUKMA XXII Selangor 2026.

Menurut beliau, Kontinjen SUKMA Negeri Perak akan menyertai 55 pecahan sukan daripada keseluruhan 59 pecahan sukan yang ditawarkan pada edisi kali ini.

“Kontinjen Perak dijangka melibatkan seramai 1,044 orang terdiri daripada 443 atlet lelaki, 383 atlet wanita, 55 pengurus pasukan, 133 jurulatih dan 30 pegawai tambahan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Perak komited memastikan persiapan kontinjen dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk penglibatan pengurusan tertinggi kerajaan negeri, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta beberapa buah jabatan dan agensi angkat bagi menyelaraskan setiap pertandingan yang disertai.

Sementara itu, YB Tuan Mohamad Najwan bin Halimi dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri Selangor kini berada pada fasa akhir persiapan penganjuran SUKMA 2026.

Beliau berkata, penganjuran temasya itu berdepan dengan cabaran tersendiri, namun Selangor komited memastikan kualiti dan integriti acara sukan yang dipertandingkan tidak terjejas.

“SUKMA bukan sekadar temasya sukan peringkat negeri, sebaliknya ia peringkat kebangsaan dan platform penting untuk mengetengahkan bakat muda negara ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak atas penyertaan dalam SUKMA XXII Selangor 2026, selain berharap hubungan kerjasama antara kedua-dua negeri dapat terus diperkukuh, bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi juga dalam bidang-bidang lain pada masa akan datang.

Kunjungan hormat itu turut diisi dengan pembentangan laporan persediaan penganjuran oleh Sekretariat SUKMA 2026 serta sesi perbincangan bersama wakil Kontinjen SUKMA Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 17 July 2026, 08:53:14.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.