Skip to main content

Kios Kesihatan Pintar Sihat AI Perkukuh Saringan Kesihatan Rakyat Perak : 6 Julai 2026.

Ketibaan YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad bersama tetamu kehormat di majlis berkenaan

IPOH, 6 Julai 2026 – Kerajaan Negeri Perak menerusi Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) melancarkan projek rintis Kios Kesihatan Pintar SIHAT AI di Perak Techno-Trade Centre (PTTC), Bandar Meru Raya, di sini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak sempena Majlis Pelancaran “SIHAT AI Smart Health Kiosk” yang menjadi permulaan kepada pembangunan ekosistem kesihatan pintar di negeri ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara Digital Perak Corporation Holdings dengan Menteri Besar Incorporated (MB Inc.) serta Jabatan Kesihatan Negeri Perak, selain memorandum perjanjian (MOA) antara Digital Perak Corporation Holdings dan Centre of Excellence for Extended Reality Technology Sdn. Bhd. (COEXRT AI).

Menerusi pelaksanaan projek rintis itu, Kios SIHAT AI berperanan sebagai pusat saringan kesihatan kendiri yang membolehkan orang awam mendapatkan penilaian kesihatan asas dengan lebih mudah, pantas dan dekat dengan komuniti.

Antara ciri utama kios berkenaan termasuk pemeriksaan tekanan darah, kadar denyutan jantung, paras oksigen darah, suhu badan, glukosa darah, kolesterol, asid urik, berat badan, indeks jisim badan (BMI) serta analisis komposisi badan.

Kios itu turut dilengkapi imbasan wajah berasaskan AI bagi menganalisis risiko awal kesihatan, buku rekod kesihatan digital, sokongan kesejahteraan mental melalui aplikasi realiti maya (VR), kemudahan teleperubatan serta peralatan bertaraf klinikal yang diluluskan pihak berkuasa.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata pelaksanaan projek rintis itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Inisiatif ini melambangkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kesihatan rakyat. Melalui Kios SIHAT AI, proses saringan menjadi lebih mudah, pantas dan boleh diakses secara percuma di premis kerajaan serta pusat komuniti.

“Pendekatan ini juga selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pencegahan, pengesanan awal dan akses kesihatan yang lebih inklusif kepada masyarakat bandar, luar bandar serta golongan rentan,” katanya.

Tambahnya lagi, pelaksanaan Kios SIHAT AI turut menyokong agenda SMART Perak dan pembangunan Ekonomi Digital Negeri Perak melalui penyelesaian digital yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, Perak merekodkan kadar diabetes dan hipertensi tertinggi di Malaysia, masing-masing sebanyak 21.7 peratus dan 40.2 peratus.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 51 peratus rakyat Malaysia tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, manakala kos pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini dianggarkan mencecah RM64.3 bilion setahun.

Sementara itu, YB Encik Azlan Helmi bin Helmi, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak berkata, fasa awal pelaksanaan projek rintis itu melibatkan warga kerja Digital Perak, organisasi di PTTC serta komuniti di Kota Tampan, Lenggong.

“Kita mahu membudayakan pemantauan kesihatan secara berkala. Rakyat boleh menyemak tahap kesihatan setiap bulan, manakala rekod saringan disimpan dengan selamat dalam aplikasi telefon pintar masing-masing bagi membantu pengesanan awal penyakit dan menggalakkan perubahan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Beliau berkata, aspek perlindungan data peribadi turut diberi penekanan dalam pelaksanaan ekosistem Kios SIHAT AI, termasuk pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), keselamatan maklumat pengguna serta kawalan perkongsian data.

Kerajaan Negeri bercadang memperluaskan inisiatif itu ke seluruh daerah di Perak melalui penambahan kios di lokasi strategik termasuk pejabat kerajaan, pusat khidmat DUN, premis PKNPk, fasiliti kesihatan, pejabat korporat, institusi pendidikan dan pusat komuniti.

Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak; YBrs. Encik Mohd Suhaimi bin Mohamad Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak Corporation Holdings serta Encik Navinderan Mageswaran, Ketua Pegawai Eksekutif COEXRT AI.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 17 July 2026, 08:53:14.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.