Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Rasmi Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando : 7 Julai 2026.

DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan berkenan menandatangani buku pelawat

IPOH, 7 Julai 2026 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando, Ulu Kinta, di sini.

Turut sama berangkat mengiringi baginda, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta putera dan puteri baginda, YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato' Seri Azlan Muzzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan YTM Raja Dato' Seri Nazira Safya Binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah dan YTM Datin Seri Nadia Esham Binti Esham.

Sebaik tiba, baginda berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang melibatkan tiga orang pegawai dan 102 orang anggota Pasukan Gerakan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai oleh DSP Muhammad Ridhuan bin Basri, Pegawai Pemerintah Baris dibantu ASP Mohd Halim bin Mat Ros, Penolong Pegawai Pemerintah Baris sebelum majlis diteruskan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa.

Sementara itu, YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri berkata, baginda berkenan menamakan kem berkenaan sebagai Kem Sultan Nazrin Shah merupakan satu penghormatan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya warga 69 Komando.

“Nama ini akan terus menjadi simbol kecemerlangan, kebijaksanaan dan kepimpinan yang menginspirasikan seluruh warga pasukan,” ujarnya ketika menyampaikan sembah ucapan pada majlis berkenaan.

Tambahnya lagi, Kem Sultan Nazrin Shah bukan sekadar pembangunan fizikal, malah simbol penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan generasi pegawai serta anggota 69 Komando yang telah berkhidmat sejak lebih lima dekad lalu.

“Di sinilah akan lahir generasi baharu warga 69 Komando yang akan meneruskan legasi perjuangan, memperkukuh kepakaran, semangat juang dan kerjasama strategik demi memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan berdaulat,” katanya.

Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan lafaz perasmian, gimik pelancaran serta menandatangani plak sebagai simbolik pembukaan kem berkenaan sebelum berangkat melawat pameran.

Kem Sultan Nazrin Shah dibangunkan sebagai pusat pentadbiran dan latihan moden bagi memperkukuh keupayaan operasi dan latihan 69 Komando, PDRM dalam menghadapi ancaman asimetrik serta cabaran keselamatan semasa.

Projek bernilai RM206 juta itu dibina di kawasan seluas 86 hektar bersebelahan Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta.

Projek berkenaan siap sepenuhnya pada 3 Februari 2023 sebelum menerima Perakuan Siap Kerja pada 14 Februari 2024 dan diserahkan secara rasmi pada 4 Mei 2024.

Sebagai kem dwi-fungsi yang menggabungkan pusat pentadbiran dan latihan, ia dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf dunia termasuk Kompleks Latihan Para, kemudahan latihan payung terjun, CQB House, lapang sasar tertutup serta lapang sasar jarak dekat dan sederhana.

Kem itu turut dilengkapi lapang sasar sepanjang 1.2 kilometer, iaitu yang terpanjang di Malaysia bagi latihan taktikal, antikeganasan dan penembak tepat (sniper) jarak jauh, selain Kolam Renang Taktikal bagi latihan selam.

Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YDH IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid bin Hj. Ismail, Ketua Polis Negara dan isteri, YBhg. Puan Sri Datuk (Dr.) Hajah Munirah binti Che Rose; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan isteri, YBhg. Datin Seri Hamisah binti Hussin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 17 July 2026, 14:14:59.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.