Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmikan Bangunan Arkib Negara Negeri Perak.: 1 Oktober 2020.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyempurnakan gimik perasmian Bangunan Arkib Negara Negeri Perak di Meru Ipoh

IPOH, 1 Oktober 2020 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Bangunan Arkib Negara, Negeri Perak di Meru, Ipoh, sebentar tadi.

Baginda bertitah, arkib, berdasarkan Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629)  bererti rekod yang dipelihara bagi nilai kebangsaan atau sejarahnya yang kekal dan lama bertahan atau kedua-duanya. Bahan-bahan yang disimpan di dalam arkib mempunyai ciri-ciri kesahihan, keandalan, keutuhan dan kebolehgunaan meletakkan status bahan-bahan tersebut sebagai bahan bukti yang dapat dipertahankan ketepatan dan kebenarannya

“Oleh itu, merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromikan,” titah baginda.

Mengiringi keberangkatan Baginda, YB Dato’ Nolee Ashilin binti Mohamed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, yang juga mewakili YAB Menteri Besar Perak pada majlis tersebut.

Hadir sama, YB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri; Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Dr. Noor Zari Hamat; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg. Datuk Azemi Abdul Aziz dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah Baginda turut menyifatkan kehilangan bahan arkib ialah kehilangan yang merugikan, menyamai kehilangan memori sesorang manusia, kehilangan yang tiada gantinya.

“Rekod sejarah yang lengkap berperanan amat penting untuk membantu negara mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan,” titah baginda.

Dalam masa yang sama, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah dan kakitangan Arkib Negara yang telah membekalkan pelbagai bahan dan maklumat serta membantu kerja-kerja penyelidikan baginda.

“Berdasarkan pengalaman berinteraksi dengan Arkib Negara dalam usaha Beta menghasilkan dua buah buku sebelum ini, dan pada masa ini dalam proses menghasilkan buku ketiga, Beta yakin dengan tahap profesionalisme para arkivis, begitu juga dengan kualiti, keandalan dan kesahihan khazanah maklumat yang berada dalam simpanan Arkib Negara,” titah Baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyediakan peruntukan membina bangunan arkib yang moden di negeri Perak.

Cawangan Arkib Negara Negeri Perak telah ditubuhkan sejak 27 tahun lalu dan beroperasi di Bangunan Seri Kinta, Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh sebelum beroperasi sepenuhnya di bangunan baharu yang terletak di Persiaran Meru Utama, Ipoh.

Sumber : Korporat, SUK Perak.
FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.