Maulidur Rasul Disambut Sederhana Dalam Norma Baharu. : 27 Oktober 2020.
Petugas barisan hadapan dalam menghadapi Covid-19 turut menerima cenderahati penghargaan.
IPOH, 27 Oktober 2020 - Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Perak kali ini, disambut secara sederhana dan mematuhi prosedur operasi standard dalam suasana norma baharu.
Bertemakan ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’, meski pun disambut secara sederhana di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, kemeriahannya tetap dirasai dengan kehadiran 450 orang Jemaah termasuk YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan serta barisan EXCO Kerajaan Negeri.
Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu telah melancarkan Buku Modul Remaja Al-Ridzuan yang menyasarkan penyemaian dan pembinaan generasi muda hari ini agar dapat mendekatkan diri dengan masjid.
Selain itu, beliau turut menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang menentang penularan COVID-19 sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah dan berselawat beramai-ramai ke atas Nabi Muhammad SAW.
Majlis turut diteruskan dengan ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, YBhg, Dato’ Zamri Hashim sebelum solat Isyak berjemaah dengan Qunut Nazilah serta solat sunat memohon penularan wabak Covid-19 dapat dihentikan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.