DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Kurnia Pengampunan Kepada Dua Banduan. : 5 November 2020.

Sidang media oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
IPOH, 5 November 2020 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan memberi pengampunan awal kepada dua banduan di negeri Perak bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Tahun 2020 pada 6 November.
Menurut YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar kedua- dua banduan yang sepatutnya dibebaskan pada 18 Mei 2022 dan 24 Jun 2023 itu diberikan pengampunan awal berkuat kuasa 6 November.
“Setelah meneliti laporan dari Jabatan Penjara Malaysia, pendapat Peguam Negara dan juga ulasan yang dipersembahkan oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan, DYMM Sultan Perak telah berpuas hati bahawa hukuman yang dilalui oleh kedua-dua banduan itu telah memberi sebuah pengajaran yang berguna kepada mereka untuk berubah kearah kebaikan,” katanya semasa sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Tahun 2020 di Laman Seri Ridzuan.
Hadir sama, YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin serta Ahli Dewan Negara Perak, YABhg. Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini.
Ujar YB Dato’ Ahmad Suaidi lagi, bersempena dengan Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak yang ke-64, Baginda telah mempengerusikan Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak pada 3 November lepas.
Tambahnya, dalam persidangan tersebut, terdapat 12 rayuan yang dipersembahkan untuk Baginda pertimbangkan, tetapi cuma dua rayuan telah diperkenankan untuk dikurniakan pembebasan awal.
“Baginda juga menitahkan nasihat bahawa sesuatu hukuman yang dijatuhkan adalah bertujuan untuk memberi pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara didaulatkan.
“Pengampunan sesuatu hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah akan dipertimbangkan apabila banduan telah menunjukan kesedaran dan sifat insaf akan kesalahan yang telah dilakukan serta berkelakuan baik semasa berada dalam tahanan,” katanya.
Pada perkembangan sama, semua premis di negeri ini digalakkan untuk mengibarkan bendera serta menyalakan lampu sehingga jam 12 tengah malam pada 5 dan 6 November nanti.
Segala usaha itu bertujuan untuk menyemai semangat taat setia kepada DYMM Sultan Perak dalam kalangan rakyat negeri ini.
Sumber : Korporat, SUK Perak.