Skip to main content

Paluan Berundur Petugas Barisan Hadapan Di PKPD Taman Meru 2C. : 6 Disember 2020.

Gimik pembukaan sempadan di Taman Meru 2C.

IPOH, 6 Disember 2020- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Meru 2C (Zon B dan Zon C) yang telah dilaksanakan selama enam belas hari sejak 20 November lalu bagi kawalan kesihatan penularan wabak pandemik COVID-19 ditamatkan secara rasminya, hari ini.

Pegawai Daerah Kinta, Encik Meor Hezbullah Meor Abd Malik, berkata paluan berundur atau pengunduran petugas ini adalah simbolik berakhirnya PKPD di kawasan tersebut.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bekerja keras menggalas tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.

"Bukan itu saja, kerjasama daripada seluruh penduduk di Taman Meru 2C ini juga amat dihargai dan kejayaan mengharungi tempoh PKPD ini adalah kejayaan bersama,” katanya dalam Majlis Paluan Berundur di Taman Meru 2C.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) A.Asmadi Abdul Aziz dan wakil-wakil jabatan serta agensi kerajaan.

Dalam majlis itu juga, gimik penutupan PKPD Taman Meru 2C turut dijayakan dengan lipatan kain rentang Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) oleh wakil anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum penyerahan disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz selaku Komander Operasi kepada Pegawai Daerah Kinta.

Pada perkembangan sama, PKPD di kawasan Taman Meru 2C itu telah ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan kerana kes aktif di kawasan tersebut berjaya dikurangkan.

Namun demikian, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih lagi berkuatkuasa di Daerah Kinta sehingga 20 Disember 2020.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.