Skip to main content

Program Wacana “Aku Ingin Hidup” Tingkat Kesedaran Penyakit Kanser Dalam Kalangan Rakyat.: 2 Januari 2021.

Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), YBhg. Datin Aezer binti Zubin bergambar bersama Pengerusi Cancer Survivor Malaysia (CSM), Puan Zuraini binti Kamal dan penerima Anugerah Ikon CSM.

IPOH, 2 Januari 2021 — Kesedaran masyarakat Malaysia terhadap penyakit kanser dan kepentingan saringan awal masih lagi berada di tahap yang rendah.

Sehingga kini, terdapat pesakit kanser yang mengambil mudah perkara tersebut sehingga mereka lewat untuk mendapatkan rawatan.

Lebih teruk lagi, ada segelintir pesakit tidak mendapat sokongan yang diperlukan daripada orang terdekat terutamanya keluarga semasa dan selepas proses rawatan dijalankan.

Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), YBhg. Datin Aezer binti Zubin berkata, masyarakat sebenarnya mahu membantu, namun mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk berbuat demikian.

“Kesedaran mengenai penyakit kanser ini perlu diperluaskan kepada semua orang, bila kita semua sedar, kita akan terpanggil untuk membantu golongan tersebut.

“Setengah orang awam tidak tahu bagaimana untuk membantu, sebab kita yang nampak sihat ni tak tahu perasaan orang yang sakit tu,” katanya semasa Program Wacana #CSM Aku Ingin Hidup.

Beliau yang juga isteri kepada YAB Menteri Besar Perak menegaskan, penerangan yang lengkap dapat menyedarkan orang awam bahawa setiap individu mampu untuk lakukan sesuatu bagi pesakit dan bekas pesakit kanser (cancer survivor).

Dalam pada itu, Pengerusi Cancer Survivor Malaysia (CSM), Puan Zuraini binti Kamal menjelaskan pihaknya masih giat mengadakan pelbagai kempen kesedaran masyarakat selain terus memberi semangat kepada semua mereka yang terkesan.

“Selain daripada rawatan hospital, mereka perlukan ‘penyokong’ untuk mereka menjalani rawatan yang panjang dan menyakitkan serta memenatkan, jadi jika mereka mengalah, mereka tidak akan berjaya,” ujarnya.

Tegas beliau masih ramai penghidap kanser memilih rawatan alternatif dan hanya datang ke hospital setelah penyakit itu berada pada tahap serius dan sukar dirawat.

Jelasnya, lebih membimbangkan apabila pesakit tidak melakukan rawatan susulan di hospital tetapi sebaliknya mendapatkan rawatan tradisional dan alternatif sehingga mengalami komplikasi yang teruk akibat lewat mendapatkan rawatan pakar.

Pada perkembangan sama, Program Wacana “Aku Ingin Hidup” anjuran Cancer Survivor Malaysia (CSM) akan menjelajah ke seluruh Malaysia dengan harapan dapat membantu masyarakat dalam menyedarkan mereka mengenai penyakit kanser.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.