Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berangkat Ke PPV, Stadium Indera Mulia. : 23 Februari 2021.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri memberikan penerangan mengenai Pusat Pemberian Vaksin kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan YAB Menteri Besar

IPOH, 23 Februari 2021- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Indera Mulia untuk melihat kesiapsiagaan kelengkapan dan fasiliti pusat itu.

Mengiringi keberangkatan baginda, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.

Keberangkatan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menunjukkan keprihatinan baginda akan kesejahteraan rakyat dan sentiasa mengikuti perkembangan program berkenaan di PPV itu yang dijadualkan bermula 1 Mac 2021.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, seramai 34,743 petugas  barisan hadapan di negeri ini yang terdiri daripada petugas kesihatan, pertahanan dan perkhidmatan penting akan menerima suntikan vaksin berkenaan bagi fasa pertama pelaksanaan program itu.

“Pelaksanaan PPV itu melibatkan pelbagai agensi negeri dan persekutuan terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta serta Majlis Bandaraya Ipoh.

“ Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini melalui laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di pautan www.vaksincovid.gov.my” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia

Hadir sama, YB Penasihat Undang- Undang Negeri, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan; YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Akmal bin Kamarudin; Yang Dipertua MAIPk, YABhg. Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini dan Pengarah Kesihatan Negeri Perak,YBhg. Dato’ Dr Ding Lay Ming.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.