Skip to main content

100 Hari Bukan Penanda Aras, YAB Menteri Besar Tetap Fokus Pembangunan Negeri. 20 Mac 2021.

YAB Menteri Besar Perak melihat pelan tapak Maahad Tahfiz Kampung Bongor

GERIK, 20 Mac 2021 - 100 hari sebagai Menteri Besar Perak bukan penanda aras bagi sebuah tanggungjawab yang diberikan dalam mengemudi pentadbiran di negeri ini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad berkata, tugas sebagai Menteri Besar merupakan tanggungjawab yang besar dan diibaratkan seperti larian yang panjang.

“Menteri Besar perlu merancang pembangunan negeri secara berterusan demi kebaikan rakyat tanpa mengira tempoh bilangan hari.

“Mentadbir sesebuah negeri ini pada saya ibarat satu larian yang panjang, tetapi kita perlu tahu di mana patut kita laju dan di mana patut kita perlahan,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Majlis Jamuan Mesra di Kampung Bongor.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Jelas YAB Dato’ Saarani Bin Mohamad lagi, kerajaan negeri sedang bergiat merancang pelbagai inisiatif untuk kebaikan rakyat dalam tempoh tiga bulan pertamanya ini antaranya blueprint Pembangunan Negeri Perak, inisiatif  ‘ Perak Bumi Lestari’ dan juga Program Tuisyen Cikgu Saarani.

“Kita tetap ada perancangan untuk Negeri Perak, dan saya percaya ianya boleh dilaksanakan bersama-sama kakitangan kerajaan negeri dalam terus memacu pembangunan negeri ini.

“Kita tidak boleh tunggu apa-apa sebagai contoh semasa wabak pandemik Covid-19 ini, kita tidak nampak sama ada ia akan berhenti dalam tempoh terdekat atau tidak, jadi pembangunan yang dilakukan semasa ini adalah setakat mana yang kita mampu,” katanya.

Terdahulu, YAB Dato’ Saarani Bin Mohamad telah hadir ke Dewan Terbuka, Felda Bersia bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Peneroka Felda Bersia.

Dalam majlis tersebut, beliau telah menyampaikan geran hak milik tanah peneroka kepada warga Felda Bersia kepada 51 orang penerima.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.