Kerajaan Negeri Komited Jadi Peneraju Kelestarian Sumber Dan Alam Sekitar. : 22 Mac 2021
YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak
IPOH, 22 Mac 2021- Kerajaan Negeri Perak komited dalam menjadi peneraju kelestarian sumber dan alam sekitar dengan mewujudkan suatu pelan yang holistik bagi mempromosikan agenda “Perak Bumi Lestari”
YAB Dato’ Saarani Bin Mohamad berkata, agenda itu akan menjadi tunjang dalam proses merangka pelbagai bentuk pembangunan termasuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi memulihara alam sekitar termasuk sungai.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan dana sebanyak RM5.7 juta dalam Bajet Perak 2021, khusus bagi aktiviti pemuliharaan sungai sebagai tanda tanggungjawab kerajaan negeri dalam urusan penjagaan sungai.
“Bagi menyokong inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk membersihkan denai-denai sungai, kita akan mengadakan Program Gotong Royong Perdana Denai Sungai Perak di semua 12 Daerah pada 27 Mac ini serentak dengan Hari Denai Sungai peringkat kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak 2021 di Hotel Casuarina di sini.
Hadir sama, YB Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Bin Tuan Man; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Azmir Shah Bin Zainal Abidin serta seluruh barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Jelas YAB Dato’ Saarani Bin Mohamad lagi, menjadi sebuah harapan untuk melihat semua pihak, khususnya kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta semua jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung dalam pengurusan sumber air untuk sama-sama berganding bahu bagi memastikan pelaksanaan pengurusan dapat dilakukan secara tuntas dan berkesan.
“Saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar sama-sama memberi tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan demi memastikan pengurusan sumber air negeri ini dilaksanakan secara lestari bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Negeri Perak merupakan antara negeri yang mempunyai peratus sungai kategori bersih tertinggi di Malaysia.
Bilangan sungai bersih di Perak telah meningkat saban tahun dengan 55 sungai pada tahun 2020 yang mencatat julat 81 hingga 100 bagi Indeks Kualiti Air dan berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling Tahun 2019, Sungai Tapah adalah sungai terbersih di Malaysia berbanding 672 sungai yang dipantau oleh JAS di bawah Kualiti Alam Sekitar (EQMP) di Malaysia.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.