Perak Negeri Pertama Jalin Kerjasama SPNB Bina RMR.: 23 Mac 2021.

YAB Menteri Besar Perak menyaksikan sesi menandatangani perjanjian MOU antara Yayasan Perak dan PKMM
IPOH, 23 Mac 2021– Negeri Perak menjadi negeri pertama menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah program RMR Perakku Prihatin dengan peruntukan RM10 juta.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad berkata, inisiatif itu merupakan usaha kerajaan negeri dalam membantu rakyat khususnya golongan B40 bagi memiliki kediaman selesa pada harga berpatutan.
“Kerajaan negeri melalui Yayasan Perak telah memperuntukkan RM10 juta bagi tujuan pelaksanaan skim tersebut dan peluang itu akan diberikan kepada golongan pertengahan yang tidak layak dapat rumah percuma atau tidak mampu untuk membuat pinjaman.
“Kita datang dengan idea di mana mereka boleh memohon pinjaman tanpa faedah melalui skim ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) pembinaan RMR Perakku Prihatin bersama Yayasan Perak dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak di Hotel Casuarina di sini.
Hadir sama, YBhg. Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dato’ Mohammad Zahir Bin Abdul Khalid; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi; YBhg. Pengerusi Yayasan Perak, Dato’ Tarmizi Bin Haji Idris; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Dato’ Hasleen Bin Isnin dan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak, Dato’ Wira Haji Jamaluddin Bin Haji Abdul Rahim.
Jelas YAB Dato’ Saarani Bin Mohamad lagi, di bawah skim itu, kerajaan negeri menyasarkan untuk membina kira-kira 200 unit rumah tahun ini.
“Menerusi kerjasama dengan SPNB, RMR Rumah Perakku Prihatin akan dibina di seluruh negeri, jadi bagi rakyat Perak yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada Yayasan Perak.
“Selepas mengemukakan permohonan, Yayasan Perak kemudiannya akan melihat kelayakan pemohon sebelum diluluskan.
“Saya amat yakin, lebih banyak rumah dapat dibina apabila peminjam-peminjam mula membayar pinjaman mereka.
Sementara itu, YBhg. Dato’ Hasleen Bin Isnin menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan kerajaan Perak dalam usaha membantu rakyat memiliki rumah sendiri.
Katanya, beberapa negeri seperti Johor, Pahang dan Terengganu telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan SPNB untuk membina RMR di negeri masing-masing.
Sumber : Korporat, SUK Perak.