Skip to main content

Perak Lancar Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2020 – 2030. : 23 Mac 2021.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan perasmian Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2020-2030

IPOH, 23 Mac 2021- Kerajaan negeri Perak ingin memperluaskan konsep Pelan Tindakan Bandar Ipoh 2020-2030 ke bandar-bandar di seluruh negeri.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad berkata selepas di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), ia akan diperluaskan ke kawasan majlis perbandaran seperti Manjung, Taiping dan Kuala Kangsar.

“Bandar pintar ini dimulakan di Bandaraya Ipoh pada permulaannya kerana ia merupakan ibu negeri di samping telah mempunyai kemudahan infrastruktur yang telah dibangunkan terlebih dahulu.

“Kita bukan sahaja mahu ada bandar pintar tetapi kita  juga ingin menjadikan negeri  ini sebagai negeri pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2020-2030 di Kinta Riverfront, di sini.

Hadir sama, YB Pengerusi  Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi dan YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Bin Baharin.

Terdahulu di dalam ucapannya, YAB Dato’ Saarani Bin Mohamad berharap agar pelan tindakan itu akan menjadi dokumen yang memandu arah MBI supaya ibu negeri Perak itu juga akan menjadi sebuah bandaraya pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang tahun 2030.

“Bagi tujuan tersebut, beberapa objektif telah distruktur untuk menjadikan Bandaraya Ipoh sebagai sebuah bandaraya yang mesra dengan penggunaan teknologi maklumat di mana dapat menyelesaikan masalah perbandaran melalui penggunaan smart solution dan menjadikan warga Ipoh sebagai warga yang ceria, sihat, pintar serta mempunyai kemahiran berteknologi.

“Secara amnya, dokumen Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh telah mensasarkan kepada tujuh domain iaitu Smart Living, Smart Environment, Smart Governance, Smart People, Smart Digital Infrastrucure, Smart Economy dan Smart Mobility sebagai solusi kepada 24 cabaran perbandaran dan potensi yang telah dikenal pasti di Bandaraya Ipoh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pelan tindakan tersebut telah mengenal pasti 37 projek yang menggariskan empat  fasa pelaksanaan dalam tempoh 10 tahun iaitu merangkumi projek quick win, projek jangka pendek, sederhana dan panjang.

Selain itu, YAB Dato’ Saarani Bin Mohamad juga mahu menjadikan pelan tersebut sebagai  pemangkin kepada perancangan lebih besar MBI pada masa hadapan, termasuklah rancangan melaksanakan sistem pengurusan bandar secara automatik terutamanya dalam pengurusan sistem trafik, sistem mengenal pasti kekosongan parkir, info cuaca dan mengenai bencana atau banjir kilat di sesuatu lokasi, sistem kutipan sampah, pengurusan saman dan aduan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Rabu 14 Mei 2025, 00:57:00.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.