Masyarakat Orang Asli Sambut Baik Seruan Kerajaan Negeri Lakukan Promosi, Pendaftaran Vaksin Secara Manual.: 8 April 2021
YAB Menteri Besar Perak ketika menghadiri program Minum Petang YAB Menteri Besar bersama Masyarakat Orang Asli
MUALLIM, 8 April 2021: Masyarakat Orang Asli di Ulu Slim menyambut baik langkah kerajaan negeri dalam melakukan promosi dan pendaftaran penerimaan vaksin secara manual.
Jelas Tok Batin Masyarakat Orang Asli Kampung Gesau, Rozi Daharai, 43 tahun, kaedah seperti ini dapat membantu meningkatkan peratusan pendaftaran penerimaan vaksin bagi masyarakat Orang Asli.
"Kita dapat lihat, kefahaman mengenai vaksin dikalangan masyarakat Asli ini sangat rendah dan bagi membantu mereka, saya mohon agar promosi dan penerangan dijalankan lagi memandangkan ada dikalangan masyarakat kami yang terlepas program seperti ini.
"Kaedah seperti ini penting dan bukan sahaja kepada masyarakat Orang Asli malahan kepada semua bangsa dan kaum kerana ia berkenaan kesihatan umum,” katanya ketika ditemubual selepas program Minum Petang YAB Menteri Besar bersama Masyarakat Orang Asli di sini.
Menurutnya lagi, sehingga ini lebih kurang 30 peratus masyarakat Orang Asli Ulu Slim mewakili lima perkampungan yang melibatkan lebih dari 1,500 orang asli telah mendaftar menerusi usaha Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Melalui promosi dan kaedah manual yang digunakan, beliau berharap peratusan penerima dapat meningkat sekurang-kurangnya kepada 50 peratus.
Dalam pada itu, bagi penduduk Kuala Bil, Nur Shaz Diana, 18, berkata peningkatan kes positif harian dengan angka mencecah lebih 1,000 kes sehari seharusnya menjadi iktibar kepada orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.
“Nak lindungi diri, jauhkan diri, keluarga daripada jangkitan COVID-19, selamat, keadaan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) menjadikan kehidupan seharian tidak seperti dulu
“Vaksin penting untuk kebaikan semua dan saya amat galakkan lebih ramai mendaftar dengan secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan negeri menerusi Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Perak dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan memperluas promosi dan kaedah pendaftaran tersebut ke seluruh 266 perkampungan orang asli di Perak.
Program yang dijalankan selaras dengan sasaran kerajaan untuk menyelesaikan pemberian vaksin kepada rakyat, selewat-lewatnya Disember ini.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.