Skip to main content

Perak Sasar 10 Juta Pokok Ditanam Sehingga Tahun 2025. : 10 April 2021.

pokok1

YAB Menteri Besar Perak bersama dif-dif jemputan mempromosikan kempen 100 juta pokok

LENGGONG, 10 April 2021– Kerajaan Negeri Perak mensasarkan sebanyak 10 juta pokok ditanam di seluruh negeri Perak sepanjang tempoh pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia sehingga tahun 2025.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad, kerajaan negeri komited untuk menjadi peneraju kelestarian sumber dan alam sekitar dengan mewujudkan agenda “Perak Bumi Lestari”.

Dalam ucapannya, beliau turut berharap Jabatan Perhutanan Negeri Perak dapat memainkan fungsi utama dalam memelihara kelestarian sumber hutan dan alam semulajadi di negeri Perak.

“Gunakanlah sebaik mungkin platform Program Penghijauan Malaysia – Kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini sebagai strategi mendekati hati rakyat dengan mengajak mereka melaksanakan penghijauan di tempat masing-masing.

“Inisiatif ‘Seorang Rakyat, Sepohon Pokok’ boleh disesuaikan dengan konsep ‘Pokok Kita, Kehidupan Kita. Memberi kesedaran kepada rakyat supaya lebih menyayangi hutan dengan memperluaskan kesedaran awam melalui jalinan kerjasama NGO dalam menangani masalah pencerobohan dan penerokaan haram Kawasan hutan simpan kekal,” ujar beliau.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad berkata sedemikan semasa menyempurnakan Program Penghijauan Malaysia: Tasik Raban Lenggong Sempena Kempen 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban, Lenggong.

Melalui program ini, sebanyak 51 spesis pokok tempatan yang mempunyai nama sinonim dengan nama tempat di negeri Perak telah ditanam. Antara pokok yang ditanam adalah, Pokok Merbau, Pokok Cengal, Pokok Ipoh, Pokok Beruas, Pokok Kangsar dan lain-lain.

Dalam masa yang sama, 4 syarikat telah diberikan sijil Perak Oxygen Land Bank dan 11 syarikat lain menerima sijil Program Bumi Hijau Perak.

Hadir sama ke program tersebut, YB Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar bin Hj Nasarah; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, YBhg. Datuk Ir Baharin bin Din.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.